Disiplin pelajar: Pertimbang bekas askar, polis jadi warden asrama

Noor Hariri
Noor Hariri
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan perlu meneliti terlebih dahulu kriteria pemilihan warden sebelum dilantik untuk mengawal masalah disiplin pelajar sekolah terutama di asrama.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, antara kriteria utama yang perlu diwujudkan adalah mereka perlulah terdiri daripada individu yang berlatar belakang disiplin yang ketat.

"Misalnya bekas-bekas askar, polis dan badan-badan beruniform yang lain yang setanding. Kita perlukan individu seperti itu supaya mereka dapat melatih pelajar dengan baik di asrama," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Menurut beliau, rata-rata kes buli melibatkan mereka yang berdepan dengan masalah disiplin dan memerlukan bimbingan.

Jelasnya, jika warden yang dipilih mempunyai asas disiplin yang kukuh, maka ia tidak menjadi masalah untuk mereka mendidik pelajar patuh pada peraturan walaupun selepas mereka tamat pembelajaran.

"Bekas askar dan polis ini berpengalaman dalam menangani gejala-gejala kekerasan. Ini sekali gus boleh membuatkan pembuli-pembuli berfikir banyak kali sebelum bertindak melakukan perkara tidak senonoh.

"Bagaimanapun, saya berpendapat didikan agama di rumah amat penting dalam menangani isu buli. Jangan pandang hanya di sekolah sedangkan pendidikan di rumah adalah asas utama," katanya.

Artikel Berkaitan: