MAFI sasar 4,000 hektar tanaman nanas di Sarawak menjelang 2025

Nik Muhammad Zawawi diberi penerangan oleh pengusaha nanas, Ibrahim Abu Bakar (tengah) ketika melawat Projek Tanaman Nanas, Kg Tambey disini hari ini. -Foto Bernama
Nik Muhammad Zawawi diberi penerangan oleh pengusaha nanas, Ibrahim Abu Bakar (tengah) ketika melawat Projek Tanaman Nanas, Kg Tambey disini hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KOTA SAMARAHAN - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menyasarkan tanaman nanas di Sarawak meningkat kepada 4,000 hektar menjelang 2025, bagi menampung permintaan yang tinggi dari luar dan dalam negara.

Timbalan Menterinya Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, bagi mencapai sasaran dan memperkasa industri nanas, LPNM akan terus membantu para pekebun dan pengusaha dari segi insentif bahan tanaman, input pertanian, infrastruktur, khidmat sokongan serta teknikal.

“Sarawak merupakan negeri kedua terbesar dari segi keluasan tanaman nanas selepas Johor, dan ia adalah negeri yang cukup berpotensi bagi perluasan tanaman nanas, dan tahun lepas ia meliputi kawasan seluas 2,500 hektar.

“Bagi Rancangan Malaysia Ke-12, Sarawak diperuntukkan RM50 juta bagi tempoh lima tahun, dari tahun 2021 hingga 2025 dalam usaha memperkasakan industri nanas negeri ini,” katanya selepas melawat Projek Tanaman Nanas di Kampung Tambey di sini, pada Rabu.

Hadir sama Pengarah LPNM Sarawak, Muhammad Suffian Sahmat.

Setakat ini katanya, sejumlah 500 pekebun dan pengusaha nanas di Sarawak adalah di bawah seliaan LPNM.

Sementara itu Nik Muhammad Zawawi menyeru anak muda berpelajaran di negeri ini menceburi bidang pertanian kerana bidang ini boleh menjana pendapatan lumayan.

“Pertanian yang kita ada sekarang adalah pertanian yang berteknologi, bukan lagi berasaskan tradisional. Sebagai contoh untuk pembajaan serta semburan air pada tanaman, menggunakan sistem yang boleh diakses melalui telefon bimbit atau komputer,” katanya

Artikel Berkaitan:

Beliau turut melawat bengkel usahawan industri asas tani, D'Mata Enterprise di Kampung Sungai Mata yang merupakan pengusaha produk yang berasaskan nanas. - Bernama