TNB, JAS kenal pasti punca pencemaran dua sungai

Keadaan sungai yang didakwa tercemar akibat kerja penanaman kabel bawah tanah secara HDD oleh TNB di sepanjang Jalan Terengganu dan Jalan Hamilton.
Keadaan sungai yang didakwa tercemar akibat kerja penanaman kabel bawah tanah secara HDD oleh TNB di sepanjang Jalan Terengganu dan Jalan Hamilton.
A
A
A

GEORGE TOWN - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengenalpasti punca pencemaran di Sungai Jelutong dan Sungai Pinang di sini.

Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir Husaini Husin berkata, pihaknya mematuhi arahan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang meminta agar kerja penanaman kabel di kawasan berkenaan dihentikan sementara.

"Kenyataan yang dikeluarkan MBPP pada Selasa mendakwa, pencemaran di Sungai Jelutong dan Sungai Pinang disebabkan oleh kerja-kerja penanaman kabel bawah tanah secara Horizontal Direct Drilling (HDD) oleh kontraktor TNB.

"Sehubungan itu, kita sedang memberi kerjasama kepada JAS yang sedang membuat siasatan terperinci bagi mengenalpasti punca sebenar pencemaran di kedua-dua sungai tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, laluan kerja-kerja HDD berkenaan dibuat berdasarkan pemetaan bagi mengelakkan sebarang gangguan pada laluan infrastruktur utiliti lain.

"Semakan awal TNB selepas dakwaan tersebut pula mendapati, kerja-kerja HDD oleh kontraktor dilantik terletak berjauhan dari kedua-dua sungai. Selain itu, sisa buangan kerja-kerja pengorekan juga telah dilupuskan di kawasan berjauhan dari tapak projek.

"Kerja-kerja penanaman kabel ini dilaksanakan untuk penyambungan bekalan voltan 132kV ke Pencawang Masuk Utama Datuk Keramat yang sedang dalam pembinaan. Ia dijadualkan siap pada Jun 2022," katanya.

Pada Selasa, MBPP telah mengarahkan kontraktor TNB memberhentikan semua kerja tapak yang menyebabkan pencemaran Sungai Jelutong dan Sungai Pinang di sini serta-merta.

Artikel Berkaitan:

MBPP turut mengarahkan kontraktor TNB melakukan kerja-kerja pembersihan sehingga keadaan di tapak didapati memuaskan.

Menurut MBPP, pihaknya melalui Jabatan Kejuruteraan turut mengeluarkan notis tunjuk sebab berhubung perkara itu kepada kontraktor terlibat selepas siasatan mendapati, punca pencemaran disebabkan kerja-kerja penanaman kabel bawah tanah secara HDD yang dijalankan di sepanjang Jalan Terengganu dan Jalan Hamilton.