Itali lanjut tempoh darurat Covid-19 hingga 22 Mac 2022

Kerajaan Itali meluluskan dekri untuk melanjutkan tempoh darurat kepada tiga bulan lagi sehingga 31 Mac 2022 berikutan pandemik Covid-19. Foto AFP
Kerajaan Itali meluluskan dekri untuk melanjutkan tempoh darurat kepada tiga bulan lagi sehingga 31 Mac 2022 berikutan pandemik Covid-19. Foto AFP
A
A
A

ROM - Kerajaan Itali pada Selasa meluluskan dekri untuk melanjutkan tempoh darurat kepada tiga bulan lagi sehingga 31 Mac 2022 berikutan pandemik Covid-19.

Tempoh darurat itu sepatutnya tamat pada 31 Disember, lapor Xinhua.

Dekri itu membolehkan kerajaan pusat mengekalkan sekatan antivirus terkini yang dilaksanakan untuk membendung gelombang pandemik keempat ketika cuti Krismas dan Tahun Baharu.

Antara peraturan tersebut ialah mewajibkan 'pas hijau khas' untuk masuk ke tempat awam seperti restoran dan bar, pawagam, gim, kelab malam dan stadium sekurang-kurangnya dari 6 Disember hingga 15 Januari.

Sijil itu menunjukkan bukti seseorang telah divaksin atau pulih daripada Covid-19 dalam tempoh enam bulan yang lalu.

Mereka yang tidak divaksin masih perlu menunjukkan pas hijau 'biasa' (dengan bukti ujian Covid-19 negatif) untuk masuk ke mana-mana tempat dan ketika menggunakan pengangkutan tempatan.

Menurut perundangan Itali, keadaan darurat membolehkan Kabinet menggubal undang-undang dan bertindak lebih cepat, mengelakkan prosedur birokrasi, tetapi hanya untuk sektor berkaitan kecemasan.

Darurat pandemik pertama diisytiharkan pada 31 Januari 2020 ketika kes Covid-19 pertama dikesan di Rom untuk tempoh enam bulan dan kemudian dilanjutkan beberapa kali. - Bernama

Artikel Berkaitan: