Ibu kanak-kanak maut jatuh kondominium didakwa abai anak

Seorang ibu berusia 24 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya berusia lima tahun tujuh bulan yang maut selepas terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium November lepas. - Foto Bernama
Seorang ibu berusia 24 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya berusia lima tahun tujuh bulan yang maut selepas terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium November lepas. - Foto Bernama
A
A
A

SELAYANG – Ibu kepada kanak-kanak lelaki yang jatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di sini bulan lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas pertuduhan mengabaikan anak kandungnya.

Bagaimanapun, wanita berusia 24 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak lelakinya berusia lima tahun tujuh bulan, telah mengabaikannya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada tubuh kanak-kanak itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Lebuh Raya Selayang-Kepong di sini antara jam 9.40 hingga 10.48 pagi, 17 November lalu.

Ia menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak pada 17 November lepas.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak pada 17 November lepas.

Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan syarat tambahan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar ikat jamin ditetapkan pada kadar rendah.

“Saya hanya seorang suri rumah, perlu menyara seorang lagi anak berusia empat tahun dan tidak mempunyai pendapatan malah suami saya pula bekerja sebagai penghantar.

“Sejak kehilangan anak, kesihatan saya tidak stabil jadi saya mohon mahkamah dapat beri ikat jamin yang rendah," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Nor Rajiah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

“Mahkamah turut meletakkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan, sebulan sekali.

“Tertuduh juga dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan," katanya sebelum menetapkan 13 Januari 2022 untuk sebutan semula kes.

Pada 17 November lepas, Sinar Harian melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak di sini.

Susulan itu, polis menahan ibu saudara kanak-kanak malang itu bagi membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak lima tahun maut terjatuh dari tingkat 16 kondominium

Polis tahan ibu saudara kanak-kanak jatuh tingkat 16