Lawatan Setiausaha Negara AS turut bincang TBB: Takiyuddin

Setiausaha Negara AS, Antony J Blinken tiba di Malaysia untuk lawatan kerja dua hari. - Foto Bernama
Setiausaha Negara AS, Antony J Blinken tiba di Malaysia untuk lawatan kerja dua hari. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kunjungan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony J Blinken ke Malaysia antara lain akan membincangkan mengenai penjanaan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB), Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu akan dibincangkan menerusi pertemuan antara Blinken dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu.

“Untuk makluman Dewan Rakyat, Malaysia menerima kunjungan Setiausaha Negara dari AS hari ini yang juga membincang mengenai TBB ini. Perdana Menteri akan bertemu dengan Setiausaha Negara AS. Itu matlamat kita," katanya.

Takiyuddin memaklumkan perkara itu pada sesi soal jawab bagi mengulas soalan tambahan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) sama ada kerajaan bakal mengkaji pelan penjanaan elektrik daripada sumber TBB yang telah dirancang mahupun akan dilaksanakan.

Blinken mengadakan lawatan kerja ke Malaysia selama dua hari dan dijadualkan menyertai mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah di Putrajaya sebelum melakukan kunjungan ke atas Ismail Sabri di bangunan Parlimen pada Rabu.

Menurut Wisma Putra, lawatan itu bakal memberi peluang terbaik kepada Malaysia dan AS untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam pelbagai aspek selain meneroka inisiatif baharu.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, kerajaan menyasar mengurangkan kebergantungan terhadap arang batu sebagai sumber penjanaan elektrik dengan menetapkan sasaran 31 peratus kapasiti TBB dalam pembekalan elektrik negara menjelang tahun 2025 dan 40 peratus pada tahun 2035.

"Sasaran ini akan dicapai melalui pelaksanaan dan penambahbaikan program-program TBB sedia ada seperti Feed-in Tariff (FiT), Net Energy Metering (NEM), SelfConsumption (SelCo) dan New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA).

Artikel Berkaitan:

"Selaras dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) daripada sektor bekalan elektrik, kerajaan juga telah menetapkan bahawa tiada pembangunan loji baharu arang batu pada masa akan datang," katanya.

Takiyuddin menjawab soalan asal Charles yang ingin tahu langkah serta-merta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) untuk menghentikan penggunaan bahan api fosil serta merangsang penjanaan tenaga boleh diperbaharui termasuk rancangan kementerian dalam mengurangkan pengeluaran karbon untuk mencapai neutral karbon sebelum tahun 2050. - Bernama