JaminKerja gandakan pemulihan ekonomi

No Image Caption
A
A
A

Insentif kerajaan tingkatkan kembali pengambilan pekerja jadi antara fokus utama

Pelbagai sektor ekonomi yang terjejas akibat krisis pandemik Covid-19, telah mengheret negara berdepan masalah pengangguran yang tinggi, sekali gus menjejaskan mata pencarian rakyat.

Dilaporkan kadar pengangguran telah meningkat sehingga 5.3 peratus pada Mei 2020, namun menurun kepada 4.6 peratus pada Ogos 2021.

Sungguhpun begitu, ia bermakna hampir 750,000 rakyat yang masih menganggur, perlu dibantu.

Atas sebab itu, sejak awal pakej ransangan ekonomi diperkenal, kerajaan menjadikan inisiatif meningkatkan kembali pengambilan pekerja antara fokus utama yang ditekankan.

Bermula dengan beberapa siri Program Subsidi Upah, dan ditambah baik kepada beberapa siri di bawah Program PenjanaKerjaya, kini menerusi Bajet 2022, kerajaan terus memberi jaminan pengambilan pekerja di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja).

Sebanyak 600,000 peluang pekerjaan dijamin di bawah JaminKerja menerusi peruntukan berjumlah RM4.8 bilion, yang meliputi Insentif Penggajian JaminKerja, Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) serta Program latihan dan peningkatan kemahiran.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Insentif penggajian JaminKerja akan ditawarkan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), yang menyasarkan 300,000 orang, dengan peruntukan RM2 bilion.

MySTEP pula akan menawarkan 80,000 penempatan pekerjaan dalam sektor awam dan badan berkaitan kerajaan (GLC) dengan peruntukan berjumlah RM1.8 bilion.

Sementara itu, program latihan dan peningkatan kemahiran pula mensasarkan seramai 220,000 peserta menerusi 12 program yang dirangka menerusi agensi-agensi tertentu dengan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion.

Menyentuh fokus insentif penggajian JaminKerja, yang menggantikan PenjanaKerjaya, tumpuan diberikan kepada kumpulan rentan dan golongan wanita.

Menerusi inisiatif ini, majikan yang mengambil mereka yang tidak aktif bekerja, akan diberi insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya, tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.

Jika diteliti, jumlah pemberian insentif ini membabitkan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding PenjanaKerjaya.

Begitu juga dengan insentif melibatkan pengambilan golongan rentan, yang akan menerima kenaikan 30 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 40 peratus bagi enam bulan berikutnya (tertakluk kepada gaji RM1,200 ke atas).

No Image Caption

Pada masa yang sama, dalam Bajet 2022 ini insentif ini turut dipanjangkan kepada majikan yang menggaji golongan wanita tidak bekerja melebihi 365 hari, ibu tunggal dan suri rumah, sebagai usaha menggalakkan wanita kembali bekerja.

Justeru, dengan adanya insentif tambahan ini, tidak mustahil untuk kerajaan mencapai sasaran dalam menyediakan peluang-peluang pekerjaan, bermula tahun hadapan.

Melihat kepada kejayaan PenjanaKerjaya sendiri, lebih 200,000 berjaya memperoleh kerja membabitkan komitmen kerajaan sebanyak RM1.28 bilion setakat 30 September 2021.

PenjanaKerjaya yang akan berakhir 31 Disember ini seterusnya akan memberi laluan kepada inisiatif JaminKerja demi merancakkan kembali pelbagai sektor ekonomi ke arah fasa pemulihan negara berdepan pandemik Covid-19.

Sebarang bentuk perincian kelayakan, kaedah permohonan dan maklumat lanjut, akan dimaklumkan dari semasa ke semasa di laman web rasmi Perkeso.

No Image Caption

INFO INSENTIF JAMIN KERJA:

- Akan dimulakan pada tahun 2022 menggantikan PenjanaKerjaya yang tamat 31 Disember 2021.

- JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) RM4.8 bilion untuk menyediakan 600,000 peluang pekerjaan, merangkumi insentif Penggajian JaminKerja, Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP), program latihan dan peningkatan kemahiran
- Insentif Penggajian JaminKerja oleh Perkeso akan memberi manfaat kepada seramai 300,000 pencari kerja.

MAKLUMAT LANJUT:

- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Facebook)

- 1-300-22-8000
- www.perkeso.gov.my/ atau www.perkeso.gov.my/bajet-2022.html
- perkeso@perkeso.gov.my