Jururawat rugi RM30,000 tersalah hantar nombor TAC

Gara-gara membantu menghantar semula nombor TAC yang tersalah hantar ke telefonnya, seorang jururawat tanggung kerugian RM30,000 pada Sabtu.
Gara-gara membantu menghantar semula nombor TAC yang tersalah hantar ke telefonnya, seorang jururawat tanggung kerugian RM30,000 pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Gara-gara membantu menghantar semula nombor kod pengesahan transaksi (TAC) yang tersalah hantar ke telefonnya, seorang jururawat tanggung kerugian RM30,000 pada Sabtu.

Selepas nombor TAC itu dihantar, mangsa berusia 48 tahun menerima pesanan dari bank berhubung transaksi pengeluaran wang daripada akaunnya.

Hasil semakan mendapati berlaku penolakan RM15,000 daripada akaun itu dan RM15,000 lagi daripada akaun Tabung Haji.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, nasib malang menimpa jururawat itu berlaku selepas dia menerima panggilan daripada pemanggil tidak dikenali ketika berada di rumah pada petang Sabtu.

Menurutnya, pemanggil langsung tidak memperkenalkan diri sebaliknya terus meminta mangsa menghantar kembali nombor TAC yang diterima.

"Pemanggil memberi alasan dia tersalah daftar nombor telefon dalam maklumat akaun banknya kepada nombor telefon mangsa.

"Mangsa segera berbuat demikian tanpa menyedari ia taktik sindiket penipuan untuk melesapkan wang dalam akaun banknya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Wazir berkata, susulan kejadian mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Mentakab pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

"Polis membuka kertas siasatan kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.