PM lancar Pusat Satelit Myfuture Jobs

Tangkap layar kenyataan Perkeso mengenai pelancaran inisiatif Pusat Satelit MYFutureJobs pada Ahad.
Tangkap layar kenyataan Perkeso mengenai pelancaran inisiatif Pusat Satelit MYFutureJobs pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan inisiatif Pusat Satelit MYFutureJobs Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk terus memperkasa program pasaran buruh aktif, sekali gus memacu dan mengukuhkan ekonomi negara.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, Pusat Satelit MYFutureJobs merupakan inisiatif inovatif KSM menerusi Perkeso selaku penyedia perkhidmatan pekerjaan awam.

Menurutnya, pusat satelit itu bertujuan membantu meningkatkan akses dan kebolehcapaian masyarakat khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar kepada peluang pekerjaan yang terdapat di seluruh negara.

“Ia akan berfungsi sebagai pusat sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan pekerjaan seperti profiling, kaunseling kerjaya dan aktiviti kebolehpekerjaan pasaran buruh tempatan.

“Menerusi kemudahan ini, orang ramai khususnya pencari kerja warga tempatan boleh memanfaatkan kemudahan bagi mengakses peluang-peluang pekerjaan yang diiklankan dari seluruh negara menerusi Portal Pekerjaan Nasional, MYFutureJobs.

“Inisiatif strategik ini mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada semua kementerian dan agensi kerajaan yang turut sama menjayakan penubuhan pusat satelit ini di seluruh negara.

“Ini untuk memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan pekerjaan melibatkan aspek pengurusan kes dilaksanakan secara lebih meluas, selain meningkatkan keupayaan dan kebolehcapaian maklumat berkaitan perkhidmatan pekerjaan oleh pencari kerja,” katanya.

Majlis pelancaran tersebut turut disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa.

Artikel Berkaitan:

Majlis itu diadakan serentak dengan penganjuran Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia yang telah berlangsung dari 9 hingga 11 Disember 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Tambah kenyataan itu, sehingga kini, sebanyak 43 Pusat Satelit MYFutureJobs telah beroperasi dengan jumlah keseluruhan 61 cawangan pusat satelit akan beroperasi sepenuhnya di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Jelasnya, senarai penuh cawangan Pusat Satelit MYFutureJobs boleh dirujuk di pautan https://www.myfuturejobs.gov.my/ms/pusat-sehenti-myfuturejobs/.

“Hasil kerjasama Perkeso bersama pelbagai kementerian dan agensi swasta antaranya Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Pusat Satelit MYFutureJobs telah dibangunkan di Pusat Komuniti Desa (PKD) dan Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara.

“Lima daripada PKD yang merupakan hasil kerjasama bersama KPLB kini dikenali sebagai MYFutureJobs@PKD. Fasiliti ini turut dirancang untuk diperluaskan kepada semua golongan pencari kerja termasuk graduan dan belia melalui cawangan di pusat pengajian tinggi,” katanya, Sementara itu, bagi meneruskan kejayaan penganjuran Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia ini, KSM menerusi Perkeso akan menganjurkan Karnival Kerjaya Orang Kurang Upaya (OKU) pada 14 Disember ini di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Karnival pekerjaan khas selama sehari khas buat golongan OKU itu akan melibatkan penyertaan daripada 16 majikan pelbagai sektor seperti Padini, AEON, McDonald’s Malaysia, Nando’s, Kyochon, HDTEC Energy, Teleperfomance Malaysia dan Apar Technologies yang menawarkan lebih 1,967 jawatan kosong.

“Perkeso menyeru dan mempelawa golongan OKU yang aktif mencari pekerjaan untuk menyertai karnival ini dengan membuat prapendaftaran menerusi pautan https://bit.ly/KarnialOKU2, selain berpeluang menerima Insentif Mobiliti di bawah program PenjanaKerjaya sehingga RM1,000 jika ditawarkan pekerjaan,” jelasnya.