Joffey, Jake garang di Teluk Panglima Garang

Jake Chia (tengah) menerima pingat emas kategori senior tangan kiri 95kg daripada wakil penaja Dar Al-Arab, Emil Petrosyan.
Jake Chia (tengah) menerima pingat emas kategori senior tangan kiri 95kg daripada wakil penaja Dar Al-Arab, Emil Petrosyan.
A
A
A

JUARA dunia 2019, Joffey Jolly dan juara kebangsaan, Jake Chia Jun Kit menepati ramalan apabila mengungguli kategori 78 dan 95 kilogram masing-masing dalam Kejuaraan Gusti Lengan Kebangsaan Keempat 2021 di Hab Rekreasi Aman Tropicana, Teluk Panglima Garang.

Turut sama menepati ramalan naib juara dunia 57kg, Safuan Asif yang kali ini beralih ke kategori 63kg apabila mengalahkan rakan sepasukan dari Putrajaya, Iryan Syauqi Azhar pada kedua-dua perlawanan akhir tangan kiri dan kanan.

Joffey menewaskan Jong Chi Joon dari Sarawak untuk tangan kiri dan Mohamad Helmi Mohd. Hanapi (Johor) bagi tangan kanan dalam perlawanan akhir sementara Jake dari Putrajaya mengatasi rakan sepasukan, Saifulhisham Shaffie dan Frankie Petrus (Sabah).

Dia yang hampir menerima kejutan sebelum bangkit menerusi pusingan penentuan tangan kiri setelah berjaya bertahan dan menyerap tekanan garang Chi Joon, beralih kepada kategori 78kg berbanding 70kg ketika bergelar juara dunia (kanan) di Rumia, Poland pada 6 Disember 2019.

Namun penggusti lengan kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini terpaksa akur kehebatan rakan sepasukan, Calven Petrus dalam pertarungan merebut gelaran keseluruhan tangan kanan selepas lawan mempunyai kelebihan berat badan, 105kg ke atas.

Jake turut kehilangan gelaran keseluruhan tangan kiri yang dimenanginya dalam Kejuaraan Kebangsaan 2019 di Cyberjaya juga kepada rakan sepasukan dari Putrajaya, Nizar Yusof yang lebih ringan, 86kg.

Lain-lain pemenang kategori berat badan senior tangan kiri ialah Asri Anuar (Melaka, 57kg), Dominic Johnny (Sarawak, 70kg), Nizar 86kg, Damsi Abdullah (Sabah, 105 kg) dan Calven (105kg ke atas).

Pemenang lain senior tangan kanan termasuk Fikrie Asif (Putrajaya, 57kg), Mohd. Zil Fadli Abd. Halim (Putrajaya, 70kg), Lukman Nurhakim Noor Jayadi (Johor, 86kg), Nickelson Rony (Sabah, 100kg) dan Calveen (105kg ke atas).

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 42 kategori berat badan dengan 201 atlet dari 14 negeri berentap pada kejohanan dengan yang dipertandingkan bagi tangan kiri dan kanan iaitu Senior Lelaki dan Wanita, Belia Bawah 21 Tahun, Remaja Bawah 18 Tahun dan Master.

Setiap pemenang kategori Senior kejuaraan ini akan terpilih mewakili Malaysia pada Piala Dunia Zioty Tur di Kuching pada Mac depan.

Dua dari kiri, Joffey pemenang pingat emas kategori senior tangan kiri 78kg.f
Dua dari kiri, Joffey pemenang pingat emas kategori senior tangan kiri 78kg.f

Kejuaraan Kebangsaan anjuran Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArm) ini tidak dapat diadakan tahun lalu berikutan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Joffey mengakui pesaing dalam kejuaraan kali ini mempunyai kekuatan masing-masing.

“Bukan selalu saya boleh menang kerana akan ada lawan yang berlatih lebih keras untuk menandingi juara bertahan.

Semakin berat saya menarik tangan, kelebihan makin berpihak kepada Calveen.

“Bagi Piala Dunia 2022, saya kena lebihkan stamina dan taktikal. Saya akan kembali kepada kategori lama 70kg sebab dalam Kejuaraan Kebangsaan, saya kena naikkan berat badan dan beri laluan kepada rakan sepasukan Sabah."

Dalam pada itu, Calven berkata, dia tidak menyangka muncul juara keseluruhan tangan kanan.

"Saya gembira dapat kalahkan juara dunia tetapi ini disebabkan berat badan kami yang tidak seimbang (78 lawan lebih 105kg).

“Saya sasar turun sehingga 95kg atau sekurang-kurangnya 105kg sahaja untuk menyertai Piala Dunia di Kuching. Taraf saingannya pasti berbeza dan kalau boleh, muncul antara lima teratas,” kata anak jati Kampung Habah, Penampang ini.

Sabah muncul juara keseluruhan Kejuaraan Kebangsaan 2021 apabila meraih 13 pingat emas, 13 pingat perak dan tujuh gangsa diikuti Putrajaya yang bergelar naib juara, dengan 12-11-11 manakala Sarawak ketiga, 12-7-8.