Asean, FIFA jalin kerjasama perkasa peranan wanita

No Image Caption
A
A
A

JAKARTA - Asean dengan kerjasama Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) meneroka strategi untuk menjadikan sukan bola sepak wanita sebagai pemangkin pembangunan sosial dan gaya hidup sihat bagi golongan itu.

Dasar dan program bersepadu boleh mengukuhkan kepimpinan golongan wanita dalam persekutuan dan organisasi sukan yang secara tradisinya sering didominasi lelaki, menurut jabatan komuniti sosiobudaya Asean.

"Usaha itu patut diterokai secara strategik untuk Asean memperkasakan gender," kata pengarah pembangunan kemanusiaan Rodora T. Babaran pada bengkel dalam talian Asean-FIFA pada 7 Disember lalu.

Beliau berkata, bengkel itu diadakan susulan memorandum persefahaman (MoU) antara persatuan pada 2019.

MoU itu bertujuan meningkatkan bilangan wanita dan kanak-kanak perempuan terlibat dalam sukan, menggalakkan kepepimpinan wanita dalam sukan dan menyediakan lebih banyak ruang serta peluang dalam persekitaran yang selamat.

Beberapa petugas FIFA menyampaikan topik merangkumi kepimpinan, komunikasi dan Wanita FIFA, bersama dengan Jessica Hutting dari Diakoneia Modern Campus Foundation di Indonesia.

Yayasan itu menjalankan aktiviti menyelamat kanak-kanak jalanan dan memperkasa komuniti melalui bola sepak.

Pada bengkel itu, ketua pegawai bola sepak wanita FIFA yang juga bekas pemain kebangsaan New Zealand, Sarai Bareman turut berkongsi mengenai topik peluang luas yang ditawarkan bola sepak wanita untuk memajukan kedudukan wanita dan remaja dalam masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Menjelang Piala Dunia Wanita FIFA Australia dan New Zealand 2023, Bareman berkata penganjuran acara sukan wanita terbesar itu dapat memberi sumbangan besar terhadap pembangunan bola sepak wanita di rantau ini pada masa depan.

Lima anggota Asean, Indonesia, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam, akan mengambil bahagian dalam Piala Wanita Asia AFC di India antara 20 Januari hingga 6 Februari 2022.

Kejohanan itu akan menjadi gelanggang pusingan akhir kelayakan Asia untuk Piala Dunia Wanita FIFA 2023. - Bernama