Penubuhan DNB hasil perbincangan KKMM, SKMM dan MOF

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Penubuhan Digital Nasional Bhd (DNB) dibuat hasil perbincangan bersama antara Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Kewangan (MOF) dalam mesyuarat Kabinet pada 3 Februari tahun ini.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang merupakan Menteri KKMM ketika itu mengesahkan perkara itu tersebut.

"Merujuk kenyataan mengenai DNB oleh Timbalan Menteri KKMM, Datuk Zahidi ZainuI Abidin di Dewan Rakyat pada 9 Disember 2021, sebagai Menteri KKMM pada masa berkaitan, saya mengesahkan penerangan balas oleh Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul yang dikeluarkan pada 10 Disember 2021.

"KKMM, SKMM dan MOF berbincang bersama sebelum mesyuarat Kabinet pada 3 Februari 2021 di mana keputusan menubuhkan sebuah syarikat Special Purpose Vehicle (kini dinamakan DNB) dibuat.

"Saya juga terlibat dalam langkah-langkah seterusnya dan diberi taklimat oleh DNB dan EY tentang pelan pelaksanaan selanjutnya," katanya dalam satu hantaran di Facebook, pada Sabtu.

Pada Jumaat, Tengku Zafrul menyanggah kenyataan Zahidi bahawa MOF tidak berbincang dengan KKMM dalam pelantikan DNB untuk melaksanakan teknologi 5G di Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Tengku Zafrul menyatakan MOF sentiasa bekerjasama rapat dengan KKMM dan SKMM dalam segala usaha menambah baik kesalinghubungan digital di Malaysia.

Turut dimaklumkan bahawa cadangan menggunakan model Rangkaian Borong Tunggal atau Single Wholesale Network (SWN) bagi rangkaian 5G, serta penglibatan KKMM bermula sejak 2019.

Artikel Berkaitan: