Kesebelasan terbaik jadi taruhan West Ham

Pemain West Ham (kiri), mengawal bola walaupun diasak pemain Dinamo Zagreb. - foto Shutterstock
Pemain West Ham (kiri), mengawal bola walaupun diasak pemain Dinamo Zagreb. - foto Shutterstock
A
A
A

PENGENDALI West Ham, David Moyes bakal menurunkan kesebelasan terbaik dalam usaha melakar kemenangan apabila berkunjung ke Turf Moor berdepan Burnley pada Ahad.

Menurut Moyes, The Hammers tidak mempunyai pilihan selain memenangi perlawanan berkenaan bagi mengukuhkan kedudukan dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Kita akan turunkan semula pemain utama bagi aksi berdepan Burnley setelah kita merehatkan ramai pemain ketika menentang Dinamo Zangreb.

“Kali ini, kita mahu berada di landasan kemenangan semula dan berharap ia (kemenangan), mampu direalisasikan di Turf Moor,” katanya.

Untuk rekod, Moyes merehatkan sebahagian besar pemain The Hammers dengan melakukan 11 pertukaran ketika tewas 0-1 kepada Dinamo Zagreb pada aksi Liga Europa pada Khamis.

Bagaimanapun, kekalahan itu dilihat tidak memberikan kesan kerana West Ham telah pun mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mata selaku juara Kumpulan H dengan 13 mata.

Justeru, The Hammers yang kini berada pada kedudukan keempat dengan 27 mata daripada 15 perlawanan perlu mencatatkan kemenangan di Turf Moor kali ini.

Sementara itu Moyes berharap agar kesebelasan yang beraksi di Turf Moor bakal merealisasikan misi kemenangan pasukan biarpun beberapa tonggak seperti Aaron Cresswell, Kurt Zouma, Angelo Ogbonna, Ben Johnson dan Ryan Federicks dilihat masih belum cergas sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan tunggu sehingga ke hari perlawanan bagi mengetahui kondisi terkini kesemua pemain ini sebelum mereka diturunkan kelak.

“Ini kerana kita tidak mahu misi untuk mencatatkan kemenangan kali ini berakhir dengan kehampaan,” katanya.