PRU15: STAR hasrat tanding semua kerusi

Jefry menerima borang penyertaan Marcus ke dalam STAR pada Program Bersama Presiden STAR di Dewan Miniantub Kampung Kotiduvan Duvanson, Penampang.
Jefry menerima borang penyertaan Marcus ke dalam STAR pada Program Bersama Presiden STAR di Dewan Miniantub Kampung Kotiduvan Duvanson, Penampang.
A
A
A

PENAMPANG - Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berhasrat meletakkan calon di semua kerusi yang difikirkannya mempunyai sokongan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Beliau berkata, bagaimanapun STAR mempunyai rakan dari parti lain dan ia memerlukan perbincangan untuk menentukan kerusi yang ditandingi.

"Sekarang tidak boleh cakap sebab apa yang dihasratkan kalau boleh nak tanding semua. Setiap parti ada hasrat ini. Tetapi oleh kerana kami ada kumpulan, sudah tentunya ada perundingan antara parti, antara kumpulan dan akhirnya baru tahu.

"Tapi kalau tanya sekarang, memang hasrat kami mahu bertanding di semua tempat yang ada kekuatan. Di mana kita tidak ada kekuatan, kita kerjasama dengan parti-parti lain," katanya dalam sidang akhbar selepas Program Bersama Presiden STAR dan Kemasukan Datuk Dr Marcus Mojigoh dalam STAR, di Dewan Miniantub Kampung Kotiduvan Duvanson, di sini, pada Jumaat.

Beliau mengulas berhubung persediaan menghadapi PRU berikutan saranan daripada pemimpin sebuah parti yang mahu PRU disegerakan dan berapa kerusi yang diharapkan STAR untuk menghadapi PRU15.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat, bahawa PRU boleh diadakan pada bila-bila masa dan jentera STAR juga kini sentiasa bersedia ke arah itu.

"Pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa sebab itu STAR sentiasa menggerakkan jentera parti untuk persediaan. Kami dalam proses mengenal pasti apa yang diperlukan termasuk siapa yang mahu bertanding, apa kekuatan dan kelemahan, siapa rakan atau musuh, kita buat persediaan semuanya," katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung kemasukan bekas Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) ke dalam STAR, Jeffrey mengalu-alukan kemasukan Marcus yang sekali gus turut memperkuatkan parti.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis itu lebih 1,000 pengikut Marcus dari tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjung Aru, Tanjung Keramat dan Petagas turut menyertai STAR.

Marcus ketika ditanya berhubung kemasukannya itu memaklumkan, bahawa ia adalah atas desakan daripada akar umbi di tiga DUN berkenaan.

"Saya juga mahu orang muda tahu apa itu perjuangan terutama dalam menuntut hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963," katanya.