X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Harimau Malaya garang baham Laos

Safawi menyumbat hatrik ketika menentang Laos di Stadium Bishan sebentar tadi.
A
A

PENGGEMPUR Harimau Malaya, Safawi Rasid muncul wira apabila meledak hatrik bagi membantu kemenangan 4-0 ke atas Laos dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan sebentar tadi.

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Harimau Malaya selaku peneraju Kumpulan B apabila merekodkan enam mata maksimum selepas terlebih dulu membenam Kemboja 3-1 pada Isnin lalu.

Dalam aksi sebentar tadi, Laos bermula garang dengan mengasak ke pintu gol Harimau Malaya dan berpeluang membuka jaringan menerusi sepakan percuma seawal minit pertama, namun sepakan Billy Ketkeophomphone sedikit melewati palang gol.

Hasil satu serangan balas, pemain sayap lincah, Arif Aiman Hanapi berjaya melepasi kawalan pertahanan Laos sebelum melorongkan bola kepada Safawi yang mudah menolak masuk untuk gol pembukaan Harimau Malaya pada minit ketujuh.

Jaringan itu dilihat semakin menyemarakkan semangat kesebelasan Harimau Malaya untuk terus mengasak ke gawang lawan dalam usaha menambah jaringan.

Pada minit ke-10, skuad negara berpeluang menambah jaringan, namun tandukan Syafiq Ahmad sekadar menggegarkan palang gol biarpun penjaga gol Laos, K.O Sovannasangso sudah tertewas.

Bagaimanapun, kekecewaan itu ditebus Safawi yang menanduk masuk gol kedua Harimau Malaya pada minit ke-34 selepas menyempurnakan sepakan penjuru yang diambil Arif Aiman.

Bersambung babak kedua, Harimau Malaya berpeluang untuk menambah jaringan menerusi sepakan percuma Safawi pada minit ke-59, namun berjaya diselamatkan Sovannasangso.

Skuad negara sekali lagi berpeluang untuk menambah jaringan pada minit ke-71, namun rembatan pemain gantian, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi gagal menepati sasaran.

Tiga minit kemudian, Shahrel Fikri sekali lagi terlepas peluang untuk menjaringkan gol apabila percubaannya diselamatkan Sovannasangso sebelum rembatannya pada minit ke-74 sekadar menggegarkan tiang gol.

Harimau Malaya akhirnya memperoleh gol ketiga menerusi tonggak pertahanan, Shahrul Saad pada minit ke-78 yang membuat larian solo melepasi kawalan pertahanan sebelum merembat leret menewaskan Sovannasangso.

Safawi kemudiannya melengkapkan hatrik dalam perlawanan itu apabila menjaringkan gol pada minit ke-79 hasil umpanan pemain gantian, R Kogileswaran.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!