Loke Kulit kembali selepas 30 tahun

Zulkeflee atau Loke Kulit mahu kembali beraksi selepas sekian lama meninggalkan dunia pembuatan barangan kulit.
Zulkeflee atau Loke Kulit mahu kembali beraksi selepas sekian lama meninggalkan dunia pembuatan barangan kulit.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengalaman yang ditinggalkan hampir 30 tahun lalu, digunakan semula Zulkeflee Said, 56, untuk berbakti kepada pelanggan dengan menghasilkan pelbagai jenis barangan kulit sejak tiga bulan lalu.

Pengembaraan ke ibu negara selama tujuh tahun pada tahun 1980 membawa bapa kepada empat cahaya mata ini melangkah jauh dalam dunia pembuatan barangan berasaskan kulit.

Pulang dari Kuala Lumpur, Zulkeflee atau lebih dikenali sebagai Loke Kulit membuka gerai di sebuah pasar raya di Jalan Post Office Lama di sini dan di Bazar Buluh Kubu.

Zulkeflee sentiasa memastikan barangan yang direkanya bermutu tinggi.
Zulkeflee sentiasa memastikan barangan yang direkanya bermutu tinggi.

Kedua-dua kedainya menjadi tarikan peminat barangan kulit ketika itu memandangkan dia antara pelopor penjualan barangan kulit di kawasan berkenaan.

“Masa itu saya berniaga di dua kedai berkenaan dan memang saya mempunyai peminat tersendiri terutama mereka yang meminati tali pinggang, beg galas, tali jam, beg tangan, dompet dan bekas pemetik api yang diperbuat daripada kulit.

“Alhamdulillah, jualan pun memberangsangkan. Namun saya mengambil keputusan untuk berhenti berniaga selepas dilantik sebagai penghulu kampung sekitar tahun beberapa tahun lalu.

“Namun kini, saya tidak lagi menjadi penghulu kampung dan mahu kembali meneruskan perniagaan dengan masa yang terluang ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Rumah Zulkeflee di Tapang, Kota Bharu kini menjadi 'kedai' dan bengkel pembuatan barangan kulit yang dijahitnya.
Rumah Zulkeflee di Tapang, Kota Bharu kini menjadi 'kedai' dan bengkel pembuatan barangan kulit yang dijahitnya.

Zulkeflee berkata, pembuatan barangan kulit dilakukan sepenuhnya di rumahnya di Tapang di sini dengan bantuan isteri, Zaleha Hassan, 49, yang menggunakan nama ‘Leeha’ sebagai jenama rasmi semua barangan dijahitnya.

Ketika ditanya mengenai stok kulit untuk setiap barangan yang dihasilkan, Zulkeflee berkata, dia mendapatkan kulit-kulit berkenaan daripada seorang rakan di Kuala Lumpur yang juga membuka perniagaan sama.

Katanya, kulit-kulit yang dibeli dari Australia, New Zealand dan Mexico itu sentiasa dijaga kualitinya bagi memastikan ia bersesuaian dengan barangan yang hendak direka, sekali gus memenuhi permintaan pelanggan.

“Dengan harga serendah RM5.50 sehingga RM500, apa yang saya jahit semuanya adalah berdasarkan permintaan pelanggan dan tawaran semasa.

“Ada juga pelanggan yang meminta menggunakan kulit yang mereka beli sendiri untuk saya jahit. Kita akan sediakanlah apa yang mereka mahukan,” ujarnya.

Antara beg galas yang dijahit Zulkeflee.
Antara beg galas yang dijahit Zulkeflee.

Ketika ditanya mengenai proses pembuatannya, Zulkeflee berkata, bermula dari jahitan, ia dilakukan dengan cukup teliti, tambahan pula perlu diwarnakan berulang kali bagi memastikan barangan dihasilkan berkilat dan cantik.

Dengan minat mendalam terhadap pembuatan kulit, Zulkeflee kembali ke zaman yang pernah ditinggalkannya seketika untuk berbakti kepada masyarakat.