Bakul Sumosack bantu pekebun nanas dalam penuaian buah

Dr Nik Muhammad Zawawi (kiri) menggunakan bakul ergonomik 'Smart Fruits Harvesting Basket' (Sumosack) hasil kajian UPM ketika memetik buah nanas yang telah masak pada lawatan ke Projek Kelompok Tanaman Nanas Parit Ghani, Simpang Renggam pada Selasa. - Foto Bernama
Dr Nik Muhammad Zawawi (kiri) menggunakan bakul ergonomik 'Smart Fruits Harvesting Basket' (Sumosack) hasil kajian UPM ketika memetik buah nanas yang telah masak pada lawatan ke Projek Kelompok Tanaman Nanas Parit Ghani, Simpang Renggam pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Bakul ergonomik Sumosack yang dicipta khas untuk kegunaan pekebun nanas, diharapkan dapat membantu mengurangkan masalah berkaitan gangguan 'musculoskeletal' yang menjejaskan tulang, otot dan sendi golongan tersebut.

Menyambut baik inovasi ‘Smart Fruit Harvesting Basket’ itu, Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohd Khairuzamri M Salleh berkata, hasil ciptaan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama LPNM itu, merupakan satu inovasi bagi menggantikan bakul rotan sekali gus membantu meningkatkan produktiviti pengeluaran nanas.

“Bakul ergonomik atau lanjung nanas yang masih dalam tempoh percubaan ini, merupakan sumbangan daripada SME Corp dengan pelaksana Yayasan Inovasi Malaysia di bawah ‘Program Berimpak Tinggi’ (HIP-6) ini pada saya merupakan satu ciptaan atau langkah baik di mana penciptaannya mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan pekebun.

“Bakul ini memainkan peranan penting bagi membantu dan menyokong ‘mereka’ untuk membuat kerja ini dengan lebih mudah, ringan dan ia mempunyai ciri keselamatan menjaga struktur tulang belakang,” katanya kepada Bernama di Pusat Pengumpulan Nanas Kelompok Parit Ghani, Kampung Parit Gantung, Parit Haji Basri, di sini pada Selasa.

Beliau sebelum itu mengiringi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh melawat Projek Tanaman Nanas Kelompok Parit Ghani, di sini.

Hadir sama dalam lawatan ini adalah Setiausaha Bahagian Industri Tanaman, Ternakan Dan Perikanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Mazlan Othman dan Profesor Madya Dr Emilia Zainal Abidin, dari Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan UPM.

Dalam lawatan tersebut, sebanyak 50 unit bakul Sumosack disumbangkan kepada pekebun nanas terpilih di negeri ini.

Turut disampaikan insentif Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin Pengusaha Nanas berupa set mesin semburan yang akan diterima 576 pekebun nanas di Johor bernilai RM1.3 juta.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, MAFI melalui LPNM menyasarkan untuk meningkatkan kawasan tanaman nanas negara kepada 20,000 hektar menjelang tahun 2025 berbanding 17,000 hektar pada 2020.

Selain itu, LPNM juga akan meningkatkan kadar peratusan tanaman nanas varieti MD2 daripada 15 peratus ketika ini kepada 50 peratus, bagi menampung permintaan tinggi dalam pasaran domestik serta eksport. - Bernama