Isu doktor kontrak gamatkan Dewan Rakyat

Persidangan Dewan Rakyat sesi pagi pada Rabu gamat seketika apabila isu doktor kontrak dibangkitkan dalam sesi pertanyaan jawab lisan.Gambar hiasan
Persidangan Dewan Rakyat sesi pagi pada Rabu gamat seketika apabila isu doktor kontrak dibangkitkan dalam sesi pertanyaan jawab lisan.Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat sesi pagi pada Rabu gamat seketika apabila isu doktor kontrak dibangkitkan dalam sesi pertanyaan jawab lisan.

Suasana 'panas' itu bermula apabila Teo Nie Ching (PH-Kulai) mendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) gagal mencapai matlamat terutama dalam menyelesaikan isu membabitkan doktor kontrak itu.

Nie Ching bangkit mencelah ketika Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memaklumkan unjuran keperluan doktor mengikut rancangan lima tahun di mana pada tahun 2025, seorang doktor adalah untuk 400 rakyat.

“Saya hendak tanya, pada masa sama, kita ada doktor kontrak yang mana ramai doktor itu tidak dapat kontrak, tidak dapat jawatan mereka.

“KKM gagal untuk mencapai satu matlamat yang ditetapkan pada tahun 2020,” katanya.

Kenyataan yang dibuat Nie Ching itu bagaimanapun tidak dipersetujui Noor Azmi dan memberi maklum balas dengan mengatakan soalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kulai itu boleh mendatangkan ‘anxiety’ (kebimbangan melampau) kepada ahli Parlimen lain.

“Saya pun sedih tengok cara dia tanya soalan, berulang-ulang dan menyebabkan keresahan dan ‘anxiety’ kepada Yang Berhormat lain. Macam mana nak capai matlamat kalau macam itu.

“Yang pentingnya kita ada matlamat dan bila kita ada matlamat, kita akan berusaha. Seperti mana saya terangkan tadi, kita ada lima perkara yang kita kaji dan perkara ini adalah dinamik, bergantung kepada apa berlaku di hospital, negeri-negeri dan daerah-daerah.

Artikel Berkaitan:

“Kita dah tetapkan dan sekarang ini rancangan lima tahun, dalam RMK-12, 1 bersamaan 400 doktor. Jadi sekali lagi saya nak sarankan yang pentingnya kita ada matlamat dan kita tetap mencari satu matlamat untuk kita usahakan,” katanya,” katanya.

Tidak berpuas hati dengan jawapan balas yang diberikan Noor Azmi itu, Nie Ching sekali lagi bangkit mencelah hingga menimbulkan sedikit kekecohan.

Bagaimanapun, keadaan kembali reda selepas Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) bangkit bertanyakan soalan tambahan kepada Noor Azmi.