Pahang ambil tiga langkah proaktif elak krisis bekalan air

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang mengambil tiga langkah proaktif bagi mengelak berlaku krisis bekalan air di negeri ini.

Antara langkah diambil melibatkan jaminan sumber air mentah, menaik taraf loji rawatan air dan penggantian paip-paip lama serta pembinaan loji rawatan air (LRA) baharu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, masalah kualiti air mentah yang menunjukkan kemerosotan di beberapa LRA di negeri ini menyebabkan operasi loji rawatan air terlibat terpaksa dihentikan.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah kekeruhan sumber air mentah yang tinggi dan penyusutan sumber air di musim kemarau, cadangan projek pembinaan 'off river storage (ORS) wier' dan empangan telah dicadang dan diangkat dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

"Pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) juga telah membina beberapa projek tangki prapemendapan dan akan terus membina kaedah ini di kawasan-kawasan lain yang dianggap sesuai.

"Pembiayaan projek itu di bawah peruntukan geran kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berhubung langkah kerajaan bagi mengelak krisis air di negeri ini pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14, Penggal Keempat di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Wan Rosdy berkata, antara projek yang diluluskan dan sedang dalam pembinaan termasuk kerja-kerja segera bagi mengatasi masalah kekeruhan sumber air yang tinggi di LRA Sungai Bilut, LRA Semantan dan di LRA Sungai Klau.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, turut dilaksanakan kerja-kerja menyiapkan ORS di Chini dan Lipis.

Sementara itu katanya, kerja-kerja menaik taraf LRA sedia ada dan penggantian paip-paip lama jenis asbestos turut dilaksanakan.

"Antara masalah yang dihadapi termasuk rizab loji-loji rawatan air yang semakin kurang dan paip-paip air lama sering pecah.

"Program menaik taraf LRA dan penggantian paip-paip lama dirancang untuk memastikan rizab loji rawatan air sedia ada meningkat dan bekalan air yang lebih stabil dapat dibekalkan kepada pengguna,

"Langkah ini dapat dilakukan dengan penstrukturan semula bekalan air negeri Pahang," katanya.

Wan Rosdy berkata, pihak Paip bercadang untuk menggunakan dana dalaman RM80 juta bagi melaksanakan projek-projek tersebut.

"Selain peruntukan dalaman, Paip juga berjaya mendapat pembiayaan RM76 juta daripada Pengurusan Aset Air Berhad untuk projek-projek yang sesuai," katanya.

Beliau berkata, cadangan pembinaan LRA baharu pula bagi memastikan pengeluaran air bersih dapat memenuhi permintaan air semasa dan pembangunan baru yang masa akan datang.

"Antaranya pembinaan LRA baharu di Bukit Puling yang mampu menampung bekalan air daerah Kuantan sehingga tahun 2040.

"Paip juga juga bercadang memperuntukkan dana dalaman RM23 juta tahun hadapan untuk mengganti sistem pam di rumah pam Sungai Kobat bagi menjana kapasiti air sebanyak 20 peratus ke LRA Semambu," katanya.