Presiden PDP berdepan pertandingan lapan penjuru di Dudong

Tiong King Sing - Foto Bernama
Tiong King Sing - Foto Bernama
A
A
A

SIBU - Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing berdepan pertandingan lapan penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu, yang juga Ahli Parlimen Bintulu, ditentang lima calon parti pembangkang dan dua calon Bebas.

Mereka ialah Wong Hie Ping yang mewakili Parti Sarawak Bersatu (PSB), Jane Lau Sung Yee daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK), Julius Enchana mewakili Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Paul Ling Fung (DAP) dan Josephine Lau Kiew Peng daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).

Turut tersenarai calon Bebas, Fadhil Mohd Isa dan Engga Uncat.

Dudong menjadi kerusi yang paling ramai calon pada PRN kali ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Dudong, Abdul Razak Awang Bini ketika mengumumkan pencalonan pagi ini berkata, setelah selesai menyemak, beliau berpuas hati dengan semua kertas penamaan yang dikemukakan dan tiada calon ditolak.

Pemantauan di pusat penamaan calon mendapati mereka yang bertanding tiba di pusat itu bersama dengan penyokong dan pencadang masing-masing seawal 7.36 pagi.

Proses penamaan calon berjalan lancar dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my