X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

Keputusan kes rasuah Ahmad Zahid pada 24 Januari

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Keputusan sama ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan dibebaskan atau diperintahkan membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, akan diketahui pada 24 Januari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di akhir kes pendakwaan.

Hakim juga mengucapkan terima kasih kepada pihak pendakwaan dan pembelaan atas hujahan lisan mereka.

“Terima kasih atas hujahan anda. Keputusan saya pada 24 Januari,” katanya selepas mendengar hujahan selama 24 hari bermula 6 September 2021.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran manakala pembelaan terdiri daripada peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh.

Sementara itu, hakim Sequerah menetapkan 18 hari mulai 28 Mac hingga 30 Jun untuk mendengar pembelaan Ahmad Zahid jika mahkamah mendapati beliau perlu berbuat demikian.

“Oleh kerana tahun baru tidak lama lagi dan tarikh telah ditetapkan (untuk kes lain), kita hanya boleh menetapkan tarikh berkenaan dengan andaian jika pembelaan dipanggil,” kata hakim itu.

Mahkamah menetapkan 28 hingga 30 Mac, 11 hingga 13 April, 26 hingga 28 April, 23 hingga 26 Mei dan 27 hingga 30 Jun.

Pada 19 Mac, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi termasuk bekas pegawai khas Ahmad Zahid, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, rakan kongsi firma guaman Lewis & Co B. Muralidharan, pengurup wang Omar Ali Abdullah dan bekas setiausaha eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Perbicaraan bermula pada 18 November 2019.

Ahmad Zahid, 68, mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan CBT, Ahmad Zahid, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B)r Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!