Letusan Gunung Semeru di Indonesia ragut 13 nyawa

Gunung Berapi Semeru di Jawa Timur, Indonesia meletus pada Sabtu. - Foto AP
Gunung Berapi Semeru di Jawa Timur, Indonesia meletus pada Sabtu. - Foto AP
A
A
A

JAKARTA - Sekurang-kurangnya 13 maut akibat melecur manakala 98 lagi cedera susulan letusan Gunung Semeru di daerah Lumajang, Jawa Timur pada Sabtu.

Jurucakap Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia, Abdul Muhari berkata, mereka yang cedera termasuk dua wanita hamil dan kini menerima rawatan di hospital.

Operasi mencari dan menyelamat masih berterusan untuk memindahkan penduduk yang terperangkap, katanya dalam satu kenyataan.

BNPB juga berkoordinasi dengan tentera untuk memindahkan penduduk melalui jalan darat dan helikopter turut digunakan bagi mempercepat lagi operasi itu.

Gunung Semeru yang memiliki ketinggian 3,676 meter itu memuntahkan abu sehingga mencecah setinggi 12,000 meter pada 3.20 petang Sabtu.

Lahar daripada letusan gunung berapi itu turut memusnahkan kediaman berhampiran, menyebabkan 902 penduduk di daerah itu terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara di kampung Supiturang dan Curah Kobokan. - Bernama

Artikel Berkaitan: