B40 perlu rebut manfaat program Baucar Perlindungan Tenang

Mohd Shahar (tiga dari kiri) menyampaikan cek kepada wakil syarikat yang menyertai Program Inisiatif Pengambilan Pekerja Penjana Kerjaya 3.0 pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya MyFutureJobs Keluarga Malaysia di Paya Besar, Kuantan pada Sabtu.
Mohd Shahar (tiga dari kiri) menyampaikan cek kepada wakil syarikat yang menyertai Program Inisiatif Pengambilan Pekerja Penjana Kerjaya 3.0 pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya MyFutureJobs Keluarga Malaysia di Paya Besar, Kuantan pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) yang dilanjutkan setahun lagi tahun hadapan perlu dimanfaatkan golongan B40 untuk melindungi diri dan keluarga daripada risiko kewangan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Mohd Shahar Abdullah berkata, inisiatif kerajaan yang diumumkan dalam Bajet 2022 itu turut ditingkatkan nilainya kepada RM75 berbanding RM50 tahun ini kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang layak.

Menurutnya, melalui baucar itu, penerima boleh menggunakannya untuk membeli pelan perlindungan diri meliputi kematian, kemalangan dan kerosakan harta benda.

"Penerima juga boleh memanfaatkan inisiatif itu untuk membeli polisi insurans komprehensif bagi motosikal 150cc ke bawah mulai tahun hadapan.

"Melalui peningkatan nilai baucar itu, penerima mungkin boleh membeli pelan perlindungan diri yang lebih baik dengan manfaat yang lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Perasmian Karnival Kerjaya MyFutureJobs Keluarga Malaysia di Dewan Paya Besar, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Abd Rahim Muda dan Pengarah Perkeso Pahang, Tarmizi Mukhtar.

Mohd Shahar berkata, kerajaan menyasarkan untuk menyediakan 600,000 peluang pekerjaan tahun depan di bawah Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan sasaran 500,000 peluang pekerjaan tahun ini di mana 400,000 telah dijana sehingga September lalu.

"Kita yakin sasaran 500,000 itu mampu dicapai pada Disember ini," katanya.

Tambah beliau, sasaran 600,000 peluang pekerjaan tahun depan mengambil kira pertumbuhan kadar ekonomi yang dijangka pada 5.5 hingga 6.5 peratus.

Mengulas tentang Karnival Kerjaya MyFutureJobs Keluarga Malaysia di Paya Besar itu, lebih 5,040 peluang pekerjaan ditawarkan dalam pelbagai sektor kepada pencari kerja.

Program itu melibatkan penyertaan 28 majikan di negeri ini.