'Saya orang kaki lima, tiada masalah dengar rintihan rakyat'

Hamzah Brahim
Hamzah Brahim
A
A
A

KUCHING - "Saya orang kaki lima, kedai kopi, tiada masalah tabur bakti kepada rakyat," kata calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim.

Apa yang penting katanya, suara rakyat yang diwakili harus diperjuangkan dengan berkhidmat kepada setiap lapisan masyarakat.

“Saya boleh mendengar semua rintihan, sesiapa pun boleh mendekati saya, berjumpa dengan saya, yang penting kita ‘deliver’ kepada rakyat, kita buat yang terbaik untuk rakyat,” katanya ketika ditemui Awani.

Hamzah, 48, yang merupakan Setiausaha Agung Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata pengalamannya dalam politik sejak 1995 akan dimanfaatkan untuk menawarkan bakti di DUN Stakan.

"Terima kasih kepada pucuk pimpinan GPS kerana memberi pengiktirafan kepada orang-orang parti termasuk saya untuk menjadi calon.

“Tidak dinafikan tanggungjawab sebagai calon begitu besar, jadi saya mengharapkan sokongan dari semua pihak dan semua warga Stakan memberi sepenuh kepercayaan kepada saya pada pilihan raya kali ini,” jelasnya.

GPS katanya menitikberatkan satu dasar yang holistik merangkumi pelbagai lapisan masyarakat selain melihat kepada aspek pembangunan sebagai tonggak utama kepada kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.

“Saya rasa dasar ini tidak menjadi beban kepada kita kerana dari segi, awal lagi GPS telah menerapkan dasar-dasar ini kepada semua pemimpin tidak kira di mana khususnya di Sarawak.

Artikel Berkaitan:

“Jadi komitmen kalau diterjemahkan, sekiranya ada rezeki untuk menang kali ini saya akan meneruskan semua dasar yang telah dilakukan oleh pemimpin terdahulu selain mencari insiaitif baharu untuk menambahbaik demi kesejahteraan rakyat di Stakan,” katanya.

Kerusi DUN Stakan ini sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud selepas menang dengan majoriti 7,042 undi menewaskan calon dari DAP, Leslie Ting Xiang Zhi yang memperoleh 1,778 undian.

DUN Stakan merupakan pecahan kawasan baharu dari Muara Tuang yang diwujudkan pada 2015. - Awani