Dua lagi anak angkat Rumah Bonda diserah kepada JKM

Pada 4 Ogos lalu, Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali membuat permohonan untuk mendapatkan kembali lima anak angkatnya.
Pada 4 Ogos lalu, Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali membuat permohonan untuk mendapatkan kembali lima anak angkatnya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret di sini dalam prosiding terdahulu dan Rabu memerintahkan empat anak angkat Rumah Bonda diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ia selepas mahkamah sama memutuskan hak penjagaan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun diserahkan kepada jabatan itu dalam prosiding hujahan permohonan hak penjagaan pada Rabu.

Majistret Nur Farahain Roslan memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada peguam-peguam dan keterangan beberapa saksi yang mewakili pemohon dan responden dalam permohonan tersebut.

Sementara itu, peguam, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun Ahd Razali berkata, prosiding pada Rabu adalah membabitkan dua permohonan iaitu bagi anak angkat berusia 14 dan empat tahun.

“Anak guam saya membantah remaja 14 tahun itu diserahkan pada JKM dan memohon agar dia diberi kepada adik-beradik ibu kandung.

“Bagaimanapun, ibu kandung meminta agar anaknya itu dijaga oleh JKM,” katanya.

Bagi hak penjagaan kanak-kanak warga Indonesia berusia empat tahun pula, Nur Aminahtul Mardiah berkata, pihaknya membuat bantahan pendengaran kerana ibu kandung kanak-kanak itu mahu hadir semasa pendengaran kes.

Ini kerana katanya, wanita itu mahu mengambil anaknya yang juga sindrom down, malah Siti Bainun sedia untuk menguruskan kemasukannya ke negara ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, mahkamah meneruskan pendengaran kes dan menyerahkan kanak-kanak itu pada JKM tanpa penilaian daripada ibu kandung.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili penjaga kepada remaja 14 tahun itu berkata, mahkamah memerintahkan dua kanak-kanak dari Rumah Bonda itu diserahkan kepada JKM bagi tempoh tiga tahun.

"Hanya tiga tahun, selepas jangka waktu itu, mahkamah akan selidik semula perkara tersebut,” katanya.

Ini bermakna beliau berkata, hak jagaan bagi empat anak angkat Rumah Bonda diserahkan kepada JKM manakala seorang lagi kepada ibu kandung.

Pada 4 Ogos lalu, Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali membuat permohonan untuk mendapatkan kembali lima anak angkatnya yang kini di bawah jagaan sementara JKM.

Kelima-limanya berusia antara dua hingga 16 tahun (dua lelaki dan tiga perempuan) yang sebelum ini dipelihara oleh Siti Bainun, 29, kini ditempatkan di dua rumah kebajikan iaitu di Rembau, Negeri Sembilan dan Kuala Kangsar, Perak.

JKM mengambil mereka daripada jagaan Siti Bainun pada 15 Julai lalu selepas wanita itu ditahan bagi membantu siasatan polis berikutan kejadian remaja sindrom Down berusia 13 tahun dipercayai didera, tular di media sosial.

Ketika prosiding pada 28 Oktober dan 16 November lalu, Mahkamah Majistret memerintahkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia tiga tahun diserahkan kepada JKM.

Pada 2 November lalu, mahkamah sama, memerintahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun diserahkan kepada ibu kandungnya.