Kerajaan kaji penjawat awam sertai sektor swasta

 Tun Dr Mahathir Mohamad -Foto SInar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Tun Dr Mahathir Mohamad -Foto SInar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang meneliti kaedah terbaik untuk memindahkan penjawat awam ke dalam sektor swasta.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang merangka pilihan untuk memindahkan pegawai-pegawai kerajaan ke sektor berkenaan.

"Kita sedang meneliti untuk menumpukan apabila mereka (penjawat awam) kehilangan jawatan dalam kerajaan apakah mereka dapat jawatan lain di peringkat swasta.

"Kita ada pilihan untuk menyediakan dan memindahkan pegawai ke swasta dan kita boleh swastakan beberapa jabatan dalam kerajaan," katanya ketika sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Mengimbas sejarah penswastaan negara, pada 1980-an, kerajaan pernah melakukannya terhadap Jabatan Telekom menjadi Telekom Malaysia (TM).

"Sepertimana yang kita lakukan kepada Telekom Malaysia, kita nak jadikan Telekom ini swasta dan kita pindah pekerja, ini pilihan mereka.

"Kalau mereka nak masuk dalam Telekom, atau nak terus berkhidmat dalam kerajaan pun boleh. Tapi ada syarat, kalau terus bersama kerajaan mereka kena akur dengan gaji kerajaan. Tapi kalau mereka lihat gaji dalam syarikat swasta itu lebih tinggi...," jelas Mahathir.

Inisiatif kawalan saiz perkhidmatan awam bukanlah suatu perkara baharu.

Artikel Berkaitan:

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataannya berkata, ia merupakan kesinambungan daripada usaha merasionalisasikan saiz perkhidmatan awam yang mula diperkenalkan sejak tahun 2008.

"Merujuk kepada Surat Edaran JPA bertajuk Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam bertarikh 26 Disember 2018, JPA ingin memaklumkan bahawa inisiatif kawalan saiz Perkhidmatan Awam dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Transformasi Perkhidmatan Awam pada 23 Oktober 2018 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah perkara, baharu," menurut jabatan itu dalam satu kenyataan.