Kesejahteraan rakyat Malaysia menurun 2.1 peratus pada 2020

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) bagi 2020 menurun 2.1 peratus kepada 118.3 mata berbanding 120.8 mata pada 2019, yang berpunca daripada pandemik Covid-19, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, secara keseluruhan prestasi IKRM pada 2020 menunjukkan hampir kesemua komponen kesejahteraan terkesan dengan penularan pandemik Covid-19.

"Sepanjang tahun lepas, landskap sosioekonomi negara mengalami momentum yang tidak menentu berikutan krisis kesihatan dan ekonomi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Laporan IKRM diterbitkan untuk mengukur tahap kesejahteraan rakyat Malaysia daripada perspektif ekonomi dan sosial yang terdiri daripada lima komponen ekonomi dan sembilan komponen sosial.

Lima komponen ekonomi ialah pengangkutan, komunikasi, pendidikan, pendapatan dan pengagihan serta persekitaran kerja, manakala sembilan komponen sosial ialah perumahan, hiburan dan rekreasi, keselamatan awam, penyertaan sosial, tadbir urus, kebudayaan, kesihatan, alam sekitar dan keluarga.

IKRM yang mengukur perkembangan kesejahteraan rakyat juga menunjukkan kesejahteraan ekonomi telah menurun 3.4 peratus kepada 126.2 mata, manakala kesejahteraan sosial pula menurun 12.1 peratus kepada 114.0 mata.

Menurut Mohd Uzir, tiga indeks dalam kesejahteraan ekonomi yang mencatatkan penurunan ketara adalah komponen pendapatan dan pengagihan (9.7 peratus), komponen pengangkutan (-7.4 peratus) dan komunikasi (0.4 peratus).

Dari segi kesejahteraan sosial pula, komponen kebudayaan menurun 16.1 peratus diikuti hiburan dan rekreasi (-15.7 peratus), tadbir urus (-0.9 peratus) serta keluarga (-0.4 peratus).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, komponen keselamatan awam meningkat 10.9 peratus diikuti kesihatan (5.6 peratus), alam sekitar (2.7 peratus) dan penyertaan sosial (2.5 peratus).

Mohd Uzir berkata, peningkatan komponen tersebut adalah disebabkan penurunan kadar jenayah, kemalangan jalan raya, pengutamaan penjagaan kesihatan dan penyertaan aktif sukarelawan yang menawarkan bantuan kepada golongan terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Bernama