PRU15: Pas Pahang bawa agenda penyatuan, elak tiga penjuru

Rosli
Rosli
A
A
A

KUANTAN - Pas Pahang tetap membawa agenda penyatuan ummah antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam usaha mengelakkan pertembungan tiga penjuru ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, disebabkan itu Pas mahu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN), seterusnya mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, setakat ini MN di Pahang masih dalam keadaan yang harmoni dan Pas Pusat juga kekal dengan kerangka agenda tersebut.

“Kalau merujuk kenyataan Pengerusi PN Pahang (Datuk Saifuddin Abdullah) bahawa akan bertanding di semua 14 kerusi Parlimen Pahang pada PRU15, kita (Pas Pahang) memahami bahawa kenyataan itu mengambil kira jika gabungan dan rundingan bersama UMNO gagal.

“Setakat ini, tiada sebarang keputusan rasmi yang dikeluarkan bahawa Pas telah memutuskan hubungan sama ada dengan MN atau PN. Jadi, Pas masih berusaha untuk penyatuan ummah dan objektif PRU15 terus berjalan sehingga kini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Rosli berkata, sehingga kini masih belum ada keputusan rasmi berhubung pembahagian kerusi pilihan raya bagi kedua-dua belah pihak di negeri ini.

Tambahnya, Pas Pahang akan terus membawa agenda penyatuan dengan tiga prinsip yang telah dijelaskan seperti mana ketika di Muktamar Pas ke-67 oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

"Jadi, kita (Pas Pahang) berpendirian sebarang keputusan daripada kami adalah merupakan keputusan daripada Pas Pusat.

Artikel Berkaitan:

“Namun, kita berharap agar agenda penyatuan ummah ini berjaya dan membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat Pahang sama ada dalam bidang ekonomi, kelestarian, jati diri dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Rosli berkata, secara rasminya Pas Pahang masih bersama UMNO di dalam MN dan pasti akan terus memelihara hubungan baik ini.

"Kami telah mempersiapkan jentera pilihan raya bagi menghadapi PRU15 jika diumumkan dalam masa terdekat," katanya.