'Goldenboy' akan cabar Komsan rebut tali pinggang UBO middleweight

Adli Hafidz - Foto Stadium Astro
Adli Hafidz - Foto Stadium Astro
A
A
A

PENINJU profesional negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi akan bertarung dengan peninju Thailand, Komsan Polsan bagi merebut kejuaraan dunia Universal Boxing Organisation World (UBO) pada 29 Januari depan.

Peninju yang diberi jolokan 'Goldenboy' itu berkata, beliau tidak gentar untuk mencabar Komsan yang mempunyai 40 rekod kemenangan dan lebih berpengalaman dalam sukan tinju bagi merebut tali pinggang UBO middleweight itu.

"Komsan memulakan karier debut beliau pada 2005, pada masa itu saya baru di Tingkatan Tiga. Beliau sememangnya sangat berpengalaman, tetapi jurulatih saya sudah aturkan saya menentang beberapa peninju yang betul-betul berpengalaman sebagai persiapan.

"Kebanyakannya saya berjumpa dengan peninju Indonesia kerana mereka mempunyai rekod dan pengalaman yang cukup baik," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Selasa.

Adli Hafidz, yang mempunyai rekod bersih apabila menang kesemua sembilan pertarungan dalam kerjayanya, termasuk lima kemenangan ‘knockout’ (KO) berkata, berbekalkan strategi dan pengalaman daripada perlawanan dan latihan sebelum ini, beliau akan beraksi sebaik yang boleh di gelanggang tersebut.

Beliau berkata, kelebihan fizikal yang dimilikinya iaitu ketinggian 181 sentimeter (cm) berbanding Komsan setinggi 170 cm akan digunakan sebagai satu daripada strategi kepantasan dan capaian dalam pertarungan itu.

Sementara itu, Adli Hafidz berkata, pihaknya merancang untuk menganjurkan pertarungan itu di sekitar ibu kota dengan beberapa lokasi seperti Axiata Arena, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) dan Genting Highlands menjadi antara pilihan.

“Kita menyasarkan 1,000 penonton yang hadir dengan harga jualan tiket antara RM30 hingga RM150,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berkongsi misi dan visinya adalah untuk menyertai Sukan SEA, Komanwel, Asia dan Olimpik, di samping membuka akademi tinju bagi memantapkan sukan itu di negara ini.

Pada 5 Oktober lepas, Adli Hafidz menundukkan peninju Indonesia, Robert Kopa secara ‘technical knockout’ (TKO) pada kejuaraan UBO Inter Continental middleweight. - Bernama