Lapan beranak tinggal di rumah pusaka usang, bocor

Rumah pusaka yang didiami lapan beranak usang dan bocor pada sebahagian besar rumah. - FOTO SINAR HARIAN
Rumah pusaka yang didiami lapan beranak usang dan bocor pada sebahagian besar rumah. - FOTO SINAR HARIAN
A
A
A

BACHOK - Lapan beranak di Kubang Nibong, Beris Kubor Besar di sini acap kali tidur dalam kesejukan dan basah akibat hujan memandangkan ketika ini musim tengkujuh susulan rumah pusaka berusia 100 tahun yang mereka diami sudah terlalu usang.

Mazita Hassan Pakry, 50, berkata, bumbung rumah kayu yang hanya mempunyai satu bilik peninggalan arwah neneknya itu sudah banyak yang bocor selain dinding serta lantai sudah banyak rosak dan berlubang.

“Atap rumah sudah banyak bocor. Setiap kali hujan, saya kena tadah air hujan dalam besen supaya lantai rumah tidak basah.

"Jika hujan lebat, kami sekeluarga akan tidur di ruang tamu dalam keadaan basah kuyup dan kesejukan," katanya ketika ditemui di rumah tersebut pada Selasa.

Mazita
Mazita

Menurut Mazita, bilik air di rumahnya itu juga sudah rosak dan tidak dapat digunakan lagi.

"Dengan bantuan keluarga lain, kami bina sebuah tandas kecil kira-kira 80 meter di belakang rumah ini," luahnya.

Menurut Mazita, dia dan suaminya Wan Aziz Wan Ismail, 49, tidak berkemampuan untuk membaiki rumah pusaka itu kerana suaminya hanya bekerja sebagai buruh kasar di Jeli dengan pendapatan RM60 sehari.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, suaminya juga turut mempunyai kekangan dari sudut kesihatan apabila menghidap penyakit buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis.

"Kadang-kadang dia balik seminggu sekali untuk menghantar wang belanja. Saya pula suri rumah sepenuh masa.

"Cuma kadang-kala jual keropok keping yang dibungkus semula dalam plastik kecil dan saya letak di beberapa kedai makan. Saya jual dengan harga RM1 sebungkus,” katanya.

Atap bocor menyebabkan Mazita Hassan Pakry, 50, terpaksa menyediakan bekas untuk menadah air yang masuk ke dalam rumahnya. - FOTO SINAR HARIAN
Atap bocor menyebabkan Mazita Hassan Pakry, 50, terpaksa menyediakan bekas untuk menadah air yang masuk ke dalam rumahnya. - FOTO SINAR HARIAN

Tambah wanita itu, keadaan Covid-19 menyebabkan kehidupan mereka semakin sukar dan tidak berkemampuan untuk membaiki rumah yang usang itu.

Menurutnya, anaknya, Wan Mohamad Sazly Zakuan Wan Aziz, 11, pula kerap tidak hadir sekolah kerana tidak mempunyai wang saku,

Bagaimanapun katanya, anaknya bernasib baik apabila gurunya turut membantu membelikan data internet untuk tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikannya tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Menurut Mazita lagi, anak sulungnya yang sudah berkahwin juga tinggal bersamanya di rumah berkenaan kerana tidak berkemampuan untuk mendiami rumah lain.

“Anak sulung cuma mengambil upah sebagai buruh kasar. Dia dan isteri serta tiga anaknya masih tinggal di sini kerana mereka juga kesempitan wang,” katanya.

Mazita mengemop lantai dapur yang dibasahi hujan akibat atap rumah yang bocor. - FOTO SINAR HARIAN
Mazita mengemop lantai dapur yang dibasahi hujan akibat atap rumah yang bocor. - FOTO SINAR HARIAN

Sementara itu Mazita menjelaskan, dia ada memohon bantuan daripada pihak berwajib bagi meringankan masalah dihadapinya namun masih belum menerima keputusan daripada pihak terlibat.

Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi Mazita di talian 019 5002742 atau salurkan ke akaun Bank Islam Mazita Hassan Pakry 03102020262353.