Menteri Pengangkutan kecewa sistem JPJ kuno

Ka Siong (berdiri, kanan) bertanyakan sesuatu kepada orang ramai yang berurusan di Pejabat JPJ Johor, Taman Daya, Johor Bahru, pada Ahad. - Foto FB Wee Ka Siong
Ka Siong (berdiri, kanan) bertanyakan sesuatu kepada orang ramai yang berurusan di Pejabat JPJ Johor, Taman Daya, Johor Bahru, pada Ahad. - Foto FB Wee Ka Siong
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong terkilan dengan sistem dan kemudahan di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor di Taman Daya di sini yang dianggap kuno.

Menurut beliau, keadaan itu dilihatnya sendiri semasa melawat Ibu Pejabat JPJ Johor pada Ahad.

"Selepas lawatan kerja mengejut, saya dapat membuat kesimpulan bahawa sistem perkhidmatan kaunter JPJ yang sedia ada terlalu kuno (lebih daripada 10 tahun) dan perlu ada anjakan paradigma ke arah digitalisasi untuk jangka panjang bagi memastikan semua perkhidmatan kaunter JPJ menjadi lebih efisien dan tidak menyusahkan rakyat.

"Secara terus terang, saya sedih dan terkilan apabila melihat orang ramai masih beratur panjang di sekeliling bangunan JPJ Johor. Saya terus menyiasat punca yang menyebabkan 'queue' yang panjang.

"Ada yang memberitahu saya bahawa Lesen Memandu Malaysia (LMM) tidak dapat diperbaharui di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan pejabat pos selain ada yang mempersoal sistem MySikap yang transaksinya dibuat secara dalam talian, namun masih lagi perlu hadir ke JPJ untuk urusan percetakan," katanya dalam Facebook miliknya pada Ahad.

Selain itu katanya, daripada empat mesin cetak LMM yang dibekal Percetakan Keselamatan Nasional (PKN), hanya dua mesin yang berfungsi di ibu pejabat tersebut.

"Perkara ini amat mengecewakan dan saya terus menghubungi serta mengarahkan PKN segera membaiki atau menghantar mesin cetak LMM," katanya.

Beliau berkata, sistem perkhidmatan kaunter JPJ yang sedia ada perlu dimodenkan selari dengan era digitalisasi.

Artikel Berkaitan:

Selepas lawatan kerja mengejut itu, beliau membuat kesimpulan bahawa sistem perkhidmatan kaunter JPJ yang sedia ada perlu ada pembaharuan ke arah digitalisasi untuk jangka panjang bagi memastikan semua perkhidmatan kaunter JPJ menjadi lebih efisien dan tidak menyusahkan rakyat.

"Saya akan cuba sedaya upaya mengimbangi jurang antara perancangan JPJ dan aspirasi rakyat. Apa yang penting, perkhidmatan yang diberikan perlulah sentiasa baik, lancar, menjimatkan masa dan memenuhi kehendak orang ramai," katanya.

Pihaknya tidak mahu situasi di JPJ Johor berlaku di tempat lain yang akhirnya membazir masa rakyat yang tentu marah jika terpaksa ke sana ke sini untuk urusan LMM atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sepatutnya diselesaikan dengan mudah dan cepat.

"Jangan biarkan orang awam menunggu berjam-jam hanya kerana mahu mendapatkan cetakan LMM," katanya.