Stadium Bola Mengoca produk pelancongan baharu Negeri Sembilan

Aminuddin (kiri) Nismilan Showcase 2021 di Nilai pada Ahad.
Aminuddin (kiri) Nismilan Showcase 2021 di Nilai pada Ahad.
A
A
A

NILAI - Tapak sawah berkeluasan dua hektar di Perkampungan Budaya Terachi, Kuala Pilah dijadikan sebagai Stadium Bola Ngoca yang pertama di negara ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, stadium yang dibina atas tanah rizab kerajaan negeri itu bakal menjadi tarikan produk pelancongan baharu di negeri ini.

“Stadium mengoca ini mempunyai lapan petak sawah berkeluasan dua hektar akan dijadikan lokasi untuk menjalankan aktiviti sukan dan riadah negeri ini seperti bola sepak sawah, pertandingan mengoca, pertandingan panjang tiang licin dan tangkap itik.

"Selaras dengan usaha ini, kita akan menganjurkan Program Pesta Bola Ngoca yang berlangsung selama dua hari bermula 11 hingga 12 Disember depan.

''Ia merupakan hasil kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dengan kerjasama Pejabat Daerah Kuala Pilah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Nismilan Showcase 2021 di Nilai pada Ahad.

Jelas beliau, sempena musim cuti persekolahan hujung tahun ini, pihaknya mengalu-alukan kehadiran semua pengunjung dan pelancong untuk turut serta memeriahkan Pesta Bola Ngoca 2021 yang diadakan buat julung-julung kalinya secara besar-besaran.

"Secara peribadi kami percaya aktiviti sukan tradisional ini mampu melonjakkan kembali martabat sukan tradisional yang sinonim dengan budaya dan masyarakat di Negeri Sembilan. Insya-ALLAH dengan izin-Nya program ini akan dilaksanakan penganjurannya pada tahun-tahun akan datang," ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi mempromosikan keunikan adat dan tradisi Negeri Sembilan, kerajaan negeri juga akan mengadakan program Pepatih Hometown.

Artikel Berkaitan:

"Kita menjemput tiga inap desa iaitu Homestay Pacitan, Homestay D'Pelanduk dan Homestay Kampung Lonek untuk mempromosikan keistimewaan masing-masing berserta makanan tradisi yang disediakan kepada pengunjung mereka," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!