Terpulang kepada Malaysia tentukan dasar China

Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata terpulang kepada Malaysia untuk menentukan dasar China yang manakah yang akan memberi manfaat kepada negara ini.

Beliau menegaskan China merupakan kuasa besar ekonomi dan kehadirannya tidak boleh diabaikan.

“Sama ada anda suka atatu tidak, China adalah sebuah kuasa besar. Kita perlu memberi pertimbangan kepada dasar mereka dan mencari bagaimana kita boleh mendapat manfaat daripada dasar itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Penggal Kedua Parlimen ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di sini hari ini.

Perdana menteri ditanya sama ada beliau akan membangkitkan kebimbangan berhubung inisiatif Satu Jalur Satu Jalan oleh China, yang didakwa sesetengah pihak sebagai menjejaskan negara membangun.

Dr Mahathir berkata: “Bukan semua dasar tidak baik bagi kita, ada antaranya yang sangat baik dan terpulang kepada kita untuk mencari apakah yang baik bagi kita dan untuk kita memanfaatkannya.”

Menurut laporan, Dr Mahathir akan melawat China bulan depan, merupakan lawatan kedua beliau ke negara berkenaan selepas menjadi perdana menteri bagi kali kedua pada Mei tahun lepas.

Kali terakhir beliau melawat China adalah pada Ogos 2018. - Bernama

Artikel Berkaitan: