Tiada jemputan daripada Bersatu bincang PRN Sarawak

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

BETONG - Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum menerima sebarang jemputan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi membincangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau perlu meneliti jemputan itu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya tidak tahu (mengenai perbincangan itu). Kita tengoklah nanti, jika ada jemputan, apa tujuan perbincangan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kabong pada Jumaat.

Pada Khamis, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Bersatu akan mengadakan perbincangan dengan parti komponen Perikatan Nasional dan GPS untuk menentukan strategi serta persiapan menghadapi PRN Sarawak.

Ketika ditanya jika Bersatu meletakkan calonnya pada PRN Sarawak, Abang Johari berkata, itu hak mereka namun GPS kekal dengan keputusan untuk bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Biarlah mereka (Bersatu) tetapi kita (GPS) tetap dengan keputusan kita,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak ditetapkan pada 6 Disember, pengundian awal pada 14 Disember dan pengundian pada 18 Disember. - Bernama

Artikel Berkaitan: