Allahyarham Kolonel Hasnol akan disemadi di Washington

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Allahyarham Kolonel Hasnol Hisham Abu Hassan dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang meninggal dunia di Hospital St Joseph Medical Center Tacoma, Seattle, pada Sabtu lalu akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Covington, Washington.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan berkata, keputusan menyempurnakan urusan jenazah dan pengebumian di Washington telah diputuskan oleh isteri, Rohani Tahir dan keluarga Allahyarham.

“Setelah berbincang dengan mengambil kira urusan memudahkan pengurusan jenazah Allahyarham disempurnakan dengan sebaik-baiknya selaras dengan tuntutan agama Islam.

“Pengurusan jenazah Allahyarham akan dilaksanakan oleh ‘House of Mercy’ dan warga muslim Malaysia yang diketuai oleh Kapten Ayub S Laari yang mana turut mengimamkan solat jenazah.

“Bagi urusan pengebumian, pihak Washington Air National Guard melalui Brigedier Jeneral Gent Welsh telah menawarkan penghormatan untuk memberikan Istiadat Pengebumian Tradisi Ketenteraan kepada Allahyarham dan mengkoordinasi urusan pengebumian dengan dipantau oleh pengawai TUDM yang berada di sana,” katanya pada Selasa.

Tambahnya, Penasihat Pertahanan Malaysia di Amerika Syarikat, Brigedier Jeneral Mohd Fadzil Mohd Diah dari TUDM juga telah mengkoordinasi dan berbincang dengan pihak Washington Air National Guard agar urusan pengebumian dilaksanakan mengikut tatacara yang sesuai dan sewajarnya.

“Istiadat pengkebumian ini juga akan turut disiarkan secara langsung melalui ‘live streaming’ yang akan dikoordinasi oleh Washington Air National Guard pada 24 November, jam 6.30 pagi waktu Malaysia,” katanya.

Pada 16 November lalu, Allahyarham dilapor tiba-tiba tidak sedarkan diri dan telah dikejarkan ke Hospital St Joseph Medical Center Tacoma bagi menerima rawatan dan menjalani pembedahan segera akibat ‘acute type of aortic dissection’.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya di hospital berkenaan dan isterinya turut berada di sisi suaminya pada waktu tersebut.

Allahyarham merupakan Pengarah Latih di Markas Tentera Udara-Bahagian Sumber Manusia (Latih) berada di Seattle, Washington kerana menghadiri Program ‘Airman to Airman Talks (A2Ats)’ di Camp Murray Seattle, Washington yang bermula pada 14 hingga 19 November.