UMNO enggan bersikap 'hidung tak mancung pipi tersorong-sorong'

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - UMNO tidak mahu bersikap seperti 'hidung tak mancung pipi tersorong-sorong' dalam menentukan kerjasama dengan Pas.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO masih terbuka meneruskan kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) dan terpulang kepada parti tersebut untuk memilih sama ada mahu bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN).

"Dari dahulu lagi jika orang tanya, saya selalu cakap dalam kehidupan ini, kita mesti sentiasa buka untuk pilihan. Jangan tutup pintu. Terpulang kepada Pas mahu bersama PN atau BN. Tetapi di Melaka (PRN), Pas buat keputusan nak bersama PN. Apa kami boleh buat? Kita tidak mahu seperti 'hidung tak mancung pipi tersorong-sorong'," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (Persona) Kali Ke-6 Sesi 2020 di sini, pada Ahad.

Mohamad yang merupakan Pengarah PRN Melaka BN berkata, UMNO akur dengan keputusan yang diambil menerusi Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini yang memutuskan tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam mana-mana pilihan raya.

"Pada masa sama, untuk mengukuhkan BN, kita 'hulur tangan' (kerjasama) kepada Pas tetapi dengan syarat guna lambang sendiri. Kita bukan suruh Pas guna lambang UMNO atau BN," kata beliau lagi.

Pada Sabtu, BN berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi PRN Melaka dan perkembangan itu memberi tamparan hebat kepada Pas yang enggan bekerjasama dengan UMNO serta BN.

Kesudahannya, Pas yang bersama Gerakan dalam PN sekadar memenangi DUN Sungai Udang dan Bemban berbanding sebelum ini menakluki kerusi Teluk Mas dan Paya Rumput.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan: