Peluang kedua untuk belia bermasalah

Peluang kedua membolehkan belia memperbetulkan kesilapan yang telah mereka lakukan.
Peluang kedua membolehkan belia memperbetulkan kesilapan yang telah mereka lakukan.
A
A
A

KESUDIAN Menteri Belia dan Sukan YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengambil tiga bekas banduan untuk bekerja di pejabatnya melalui inisiatif Projek Riben Kuning dilihat sebagai kesungguhan beliau mengilhamkan Peluang Kedua kepada mereka yang ada sisi gelap dalam kehidupan.

Projek Riben Kuning dilancarkan pada 19 Oktober 2018 merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai plaform dalam mengembalikan kumpulan belia berisiko ke dalam hidup bermasyarakat, di samping membina kehidupan baharu melalui pekerjaan yang ditawarkan.

Belia merupakan golongan yang kerap terdorong melakukan kesilapan. Perkara ini tidak asing lagi bagi peringkat umur mereka yang sedang meningkat naik ke alam dewasa, bahkan golongan dewasa juga kerap mengalami perkara sama seperti mereka.

Perkara ini hampir berkait rapat dengan belia yang seumur hidup mereka terjerumus dalam masalah kewangan, undang-undang, serta pergaulan bebas. Masyarakat kita cepat melabelkan belia berisiko dan bermasalah ini sebagai ‘pembuat masalah’ dan meminggirkan mereka. Bagaimanapun, ini adalah pendekatan yang salah dan stigma seperti ini haruslah dihapuskan.

Hari ini, kita akan membincangkan tentang mengapa para belia yang bermasalah berhak mendapat peluang kedua, dan bagaimana ia boleh membawa kepada keputusan lebih baik seumur hidup.

Kemaafan boleh disebarkan. Antara sebab terbesar peluang kedua adalah begitu berkesan, bukan sahaja kerana ia membolehkan mereka memperbetulkan kesilapan yang telah mereka lakukan, tetapi juga secara tidak langsung mengajar mereka betapa pentingnya bagi kita untuk memberikan kemaafan.

Kemaafan adalah perkara yang susah untuk dilihat oleh golongan belia kerana golongan ini hanya melihat keganasan, dadah dan perkara-perkara yang tidak seharusnya dilihat oleh kanak-kanak. Dengan memberikan kemaafan dan peluang kedua buat mereka, ini sedikit sebanyak akan mendorong mereka untuk menjadi yang terbaik dan lebih ke arah melakukan kebaikan.

Kebanyakan belia yang melakukan kesilapan dan terlibat dengan jenayah ini tidak sedar dengan apa yang mereka lakukan kerana hanya memikirkan tentang nafsu dan keseronokan semata-mata. Mereka melakukan perkara seperti ini mungkin untuk menyesuaikan diri dengan zaman dan rakan seusia yang lain. Mereka tidak mempunyai pilihan dan cara yang lain. Bagi kita, sekiranya kita tidak memberikan peluang kedua buat mereka, ia seolah-olah kita adalah batu penghalang bagi mereka dalam mencari identiti diri mereka untuk menjadi yang terbaik dalam masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Dengan memberikan peluang kedua dan tunjuk ajar serta teladan selain daripada menghukum, secara tidak langsung kita menyedarkan mereka untuk berubah menjadi lebih baik. Kita sebagai masyarakat, boleh menunjukkan bagaimana mereka boleh mengasah bakat terpendam dan menggunakan bakat yang mereka ada ke jalan kebaikan.

Kita juga boleh membantu mereka mengenal pasti bakat dan kebolehan mereka dan membimbing mereka dalam merancang kerjaya yang lebih menjanjikan masa hadapan lebih cemerlang.

Mereka hanyalah remaja atau kanak-kanak. Penghujungnya nanti, belia yang bermasalah ini, walaupun sebesar mana kesalahan yang mereka lakukan, tetap remaja atau kanak-kanak. Kita tidak boleh melayan mereka seperti seorang dewasa yang matang. Mereka masih tidak mempunyai kebolehan mengenalpasti perbuatan yang boleh memberi kesan jangka panjang.

Setiap orang pernah menjadi muda. Masih ingatkah kita, semasa kita muda kita pernah membuat keputusan dan sewaktu itu adakah kita pernah terfikir tentang baik-buruk keputusan itu pada masa akan datang? Dalam kebanyakan hal, kita tidak memikirkan baik buruk keputusan itu dan melakukan keputusan sewenang-wenangnya.

Ini merupakan salah satu punca mengapa mereka tergolong dalam belia bermasalah. Mereka tidak berfikir panjang tentang apa yang mereka akan hadapi pada masa akan datang dan apa kesan buruk yang akan mereka hadapi sekiranya mengambil keputusan salah.

Ini menunjukkan betapa pentingnya peluang kedua buat mereka. Justeru, masyarakat dan sektor pekerjaan perlu menyokong usaha Peluang Kedua melalui Riben Kuning ini dalam mencapai kesejahteraan bersama.

* Penulis ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Volunteer Malaysia (dahulu dikenali sebagai 1M4U)