Biden sihat, masih bertenaga

Biden kekal sihat pada usia itu kerana beliau tidak menggunakan produk tembakau, tidak mengambil minuman alkohol dan bersenam sekurang-kurangnya lima kali seminggu. - Foto AFP
Biden kekal sihat pada usia itu kerana beliau tidak menggunakan produk tembakau, tidak mengambil minuman alkohol dan bersenam sekurang-kurangnya lima kali seminggu. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden disahkan sihat dan masih bertenaga untuk memegang tampuk pemerintahan di negara itu.

Pengesahan tentang keadaan fizikal beliau dibuat doktor Rumah Putih, Kevin O'Connor setelah Biden menjalani pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh (kolonoskopi) pada Jumaat yang turut menyaksikan 'pemindahan kuasa' sementara selama satu jam dan 25 minit kepada Naib Presiden, Kamala Harris.

Laporan terperinci tersebut menyatakan Presiden paling tua pernah berkhidmat itu mengalami masalah ketika berjalan berbanding tahun lalu selain kerap batuk-batuk dan berdehem semasa berucap di hadapan khalayak umum.

Menurut kandungan surat dikeluarkan O'Connor, simptom tersebut tidak mencetuskan kebimbangan atau berpunca daripada keadaan yang serius.

"Beliau tidak mengalami gejala kegagalan jantung, masalah gigi atau barah kulit malah kesihatan matanya sangat meyakinkan," katanya sambil menambah antara sebab Biden kekal sihat pada usia itu kerana beliau tidak menggunakan produk tembakau, tidak mengambil minuman alkohol dan bersenam sekurang-kurangnya lima kali seminggu.

Biden yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-79 pada Sabtu hanya mengambil tiga ubat preskripsi biasa dan dua ubat tanpa preskripsi selain memakai kanta sentuh.

"Saya berasa hebat dan berada dalam keadaan yang baik," kata pemimpin itu setelah kembali semula ke Rumah Putih selepas menjalani prosedur tersebut di Hospital Walter Reed.

Difahamkan, pemeriksaan di pusat perubatan tentera itu adalah rutin tahunan untuk Presiden AS yang memerlukan proses pemindahan kuasa sementara kepada Naib Presiden.

Artikel Berkaitan:

Keadaan kesihatan Biden mula mendapat perhatian ramai dan turut mencetuskan spekulasi hingga ada yang mempertikaikan hasratnya untuk bertanding bagi penggal kedua pada 2024.

Sebelum ini, pemindahan kuasa sementara pernah dilakukan ketika Presiden ke-43 AS, George W Bush menjalani prosedur pemeriksaan sama pada 2002 dan 2007. - AFP

Info:

>Harris menjadi Presiden wanita pertama AS memegang kuasa selama satu jam 25 minit ketika Biden menjalani prosedur pemeriksaan kolonoskopi tersebut.

>Menerusi surat rasmi kepada Kongres, Pejabat Akhbar Rumah Putih mengesahkan pemindahan kuasa sementara itu bermula jam 10.10 pagi (waktu tempatan) dan Presiden kembali bertugas pada jam 11.35 pagi pada Jumaat.