Hujan renyai tak halang orang Melaka, calon keluar awal mengundi

Pengundi Maimon Hasan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 di Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K) hari ini. - Foto Bernama
Pengundi Maimon Hasan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 di Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Hujan renyai di beberapa kawasan pagi Sabtu tidak menghalang pengundi keluar seawal jam 7.30 pagi, beratur di luar pusat mengundi merangkumi antaranya sekolah dan dewan bagi menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Tinjauan di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Ramuan China Besar di Alor Gajah mendapati rata-rata yang keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat kawasan mereka, terdiri daripada golongan warga emas.

Usia dan pergerakan terhad akibat masalah kesihatan juga tidak menghalang mereka untuk keluar mengundi.

Maimun Hasan, 78, yang berkerusi roda menjadi pengundi pertama tiba di SK Durian Daun, Masjid Tanah kira-kira jam 7.35 pagi manakala Abdul Rahim Yaacob, 57, yang menghidap penyakit strok turut tiba awal untuk menunaikan haknya di pusat pengundian sama.

Selain golongan warga emas, turut keluar awal mengundi adalah mereka yang bertanding, antaranya calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mengundi di SK Ramuan China Besar sejurus pusat pengundian dibuka.

Begitu juga dengan calon Pakatan Harapan (PH) DUN Bukit Katil Adly Zahari yang tiba di SK Durian Tunggal, pada jam 8.10 pagi.

Calon Barisan Nasional (BN) DUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang mengundi di SK Kampung Jeram pula menunaikan tanggungjawabnya pada jam 8.43 pagi diikuti Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang merupakan calon BN DUN Lendu yang mengundi di SK Durian Daun.

Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang merupakan calon BN DUN Sungai Udang pula tiba untuk mengundi jam 8.47 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lih Jen, Pokok Mangga di sini diikuti calon PH DUN Asahan, Datuk Seri Idris Haron, yang tiba di pusat pengundian itu bersama isteri Datin Seri Fadilah Abdullah dengan menaiki motosikal Yamaha 135LC.

Artikel Berkaitan:

Proses pengundian di Melaka bermula jam 8 pagi ini dengan 217 pusat pengundian dibuka membabitkan sebanyak 1,109 saluran bagi membolehkan rakyat Melaka memilih kerajaan baharu.

Pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi, akan dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi DUN sehingga waktu mengundi tamat pada jam 5.30 petang.

Pada 16 November lepas, seramai 11,557 orang adalah pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis menunaikan tanggungjawab masing-masing membabitkan 31 pusat pengundian awal dengan 47 saluran manakala seramai 7,601 orang layak mengundi secara pos.

Proses pengundian juga menyaksikan amalan norma baharu apabila pengundi diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran dengan mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke pusat mengundi.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada Sabtu (20 November) berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Sulaiman. - Bernama