X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

Saksi tidak tahu Syed Muhammad Danial di bawah pengaruh dadah

Paparan skrin video yang tular di media sosial berhubung kemalangan membabitkan Syed Danial pada 2019 lalu.
A
A

SHAH ALAM – Saksi pendakwaan keenam memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa, tiada dalam pengetahuannya Syed Muhammad Danial Syed Syakir seorang penagih dadah.

Bahanizam Hassan, 54, berkata demikian ketika perbicaraan kes bunuh Syed Muhammad Danial yang dikatakan berlaku di Kilometer 293.6, Lebuh Raya Utara Selatan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang, 10 Ogos 2019.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Wee Choo Keong yang mewakili Yew Wei Liang, Bahanizam yang bekerja sebagai juruteknik berkata tidak setuju, apabila dicadangkan bahawa Syed Muhammad Danial mengubah lorong secara tiba-tiba kerana berada di bawah pengaruh dua jenis dadah.

Soalan Choo Keong yang menyentuh jenis dadah itu, mendapat bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin.

“Saya tidak bantah soalan di bawah pengaruh dadah, tetapi saya bantah apabila peguam menyebut secara spesifik, sedangkan saksi ini tidak tahu.

“Soalan ini adalah menggusar kepada si mati, Yang Arif,” katanya.

Peguam kemudian meneruskan pemeriksaan balas dengan beberapa soalan lain namun sekali lagi menyoal saksi dengan soalan yang sama dengan menyatakan jenis dadah itu secara terperinci.

Ia sekali gus menyebabkan Aidatul Azura membuat bantahan buat kali kedua.

Semasa prosiding, Choo Keong bertanya sama ada bersetuju atau tidak, bahawa Bahanizam lebih tertarik untuk melihat Perodua Axia kerana pemandu kereta itu mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong tengah, kerana dia membawa kenderaan secara merbahaya.

Bahanizam: Tidak.

Choo Keong: Setuju atau tidak, pemandu Perodua Axia ubah haluan kerana mabuk atau dipengaruhi dadah berbahaya?

Bahanizam: Tidak.

Choo Keong: Setuju atau tidak, ketika mengubah haluan, berlaku perlanggaran?

Bahanizam: Tidak

Choo Keong: Encik ada cakap, kereta yang Encik pandu ketika kejadian adalah Honda Civic Saloon?

Bahanizam: Ya

Choo Keong: Kereta itu rendah, enam inci dari jalan raya.

Bahanizam: Ya

Choo Keong: Setuju atau tidak, masa di lorong kiri, jika ada kereta di sebelah, encik susah nak nampak apa yang berlaku di lorong kanan?

Bahanizam: Setuju.

Bagaimanapun, saksi ini berkata tidak bersetuju apabila peguam mencadangkan, bahawa keterangannya di mahkamah adalah bersifat prejudis terhadap anak guamnya.

Bahanizam memberi jawapan sama iaitu tidak setuju, apabila Choo Keong berpendapat, ketika di lokasi kejadian, dia melemparkan tuduhan liar terhadap pemandu Toyota Inova semata-mata dan bukannya membantu Syed Danial yang tercedera.

Pada 22 Ogos 2019, Yew Wei Liang yang bekerja dalam bidang IT, didakwa membunuh Syed Muhammad Danial Syed Syakir yang dikatakan berlaku di Kilometer 293.6, Lebuh Raya Utara Selatan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang, pada 10 Ogos tahun sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Julia Ibrahim bersambung esok.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!