DAP gusar penyatuan ummah Pas-UMNO

AHMAD FAKHRUDDIN
AHMAD FAKHRUDDIN
A
A
A

ALOR SETAR - Pas berusaha untuk menyatukan suara umat Islam yang berasa terpinggir dengan isu-isu rakyat selain mendakwa kerajaan PH seolah didominasi oleh DAP.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, ini menyebabkan Pas sedia menjalin kerjasama dengan UMNO termasuk membincangkan kewajaran mewujudkan kerajaan campuran di beberapa negeri.

Menurutnya, bagaimanapun, Pas masih meneliti dengan cermat idea dilontarkan UMNO dan tidak terburu-buru membuat keputusan.

“Apa jua syor kelak, Pas Kedah akan rujuk kepada kepimpinan Pusat yang pastinya akan memilih suatu keputusan yang dapat memberi kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.

Ahmad Fakhruddin berkata, kerajaan penyatuan ummah yang disuarakan pimpinan tertingi BN, pasti akan mengundang keresahan kalangan pimpinan PH, khususnya DAP.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada pembentukan kerajaan campuran akan merugikan Pas, susulan UMNO dikatakan parti yang lemah dan cuba berpaut pada kekuatan Pas selepas PRU14.

Dalam konteks Kedah, katanya, Pas menyifatkan kedudukan kerajaan PH Kedah amat rapuh serta tidak berupaya menunaikan manifesto PRU14 secara efektif.

“Pemimpin PH hanya banyak cakap, kerja kurang. Sejurus kerajaan PH ditubuhkan di Kedah, Pas telah ambil pendirian mengukuhkan blok pembangkang bersama BN untuk menyemak imbang kerajaan negeri, usaha ini masih berterusan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Fakhruddin juga menegaskan, Pas Kedah bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya dua daripada 19 kerusi DUN PH di Kedah beralih arah dan secara tidak langsung menyaksikan perubahan politik di negeri ini.

“Kami sentiasa siap siaga dengan kemungkinan berlaku perubahan cuaca politik di negeri ini,” katanya.

Komposisi DUN Kedah menyaksikan PH menguasai 19 daripada 36 jumlah keseluruhan kerusi DUN.

Manakala BN hanya dua kerusi, selebihnya 15 kerusi milik Pas.