X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Kepala budak tersepit pada jeriji pintu rumah pengasuh

Mangsa yang tinggal sementara di rumah pengasuh dikatakan bermain dan memanjat jeriji berkenaan.
A
A

SELAYANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun melalui detik cemas apabila kepalanya tersepit di jeriji pintu hadapan rumah pengasuhnya dalam kejadian di Taman Berlian di sini pada Selasa.

Difahamkan dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa yang tinggal sementara di rumah pengasuh dikatakan bermain dan memanjat jeriji berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.05 petang.

"Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Norazam berkata, sejurus tiba tempat lokasi, anggota bomba mendapati seorang kanak-kanak berada di jeriji pintu kerana kepalanya tidak dapat dikeluarkan daripada lubang pintu besi terbabit

Pasukan bomba membantu mengeluarkan kepala kanak-kanak berusia setahun yang tersangkut pada jeriji pintu hadapan rumah dalam kejadian di Taman Berlian di sini pada Selasa.
Pasukan bomba membantu mengeluarkan kepala kanak-kanak berusia setahun yang tersangkut pada jeriji pintu hadapan rumah dalam kejadian di Taman Berlian di sini pada Selasa.

"Pasukan kami terpaksa menggunakan 'Bolt Cutter' dan mengambil masa selama 13 minit bagi memotong besi jeriji tersebut sebelum mengeluarkan kepala mangsa yang tersepit" katanya.

Sementara itu, anak kepada pengasuh yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku membabitkan anak jirannya.

"Kanak-kanak terbabit baharu sehari tinggal di rumah saya disebabkan pengasuhnya meminta bantuan kami menjaganya.

"Tidak sangka pula berlaku sesuatu yang tidak diingini, namun bersyukur apabila dia selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya.

Dia berkata, mereka sekeluarga menyedari kejadian itu semasa sedang berehat di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan dengan tangisan kanak-kanak terbabit.

"Kami semua panik sebab kepala kanak-kanak ini tersangkut pada pintu jeriji besi dan saya terpaksa hubungi bomba bagi mendapatkan bantuan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!