Wakil rakyat BN sifatkan perpecahan MN kembalikan 'solat dua imam'

Sidang DUN Terengganu
Sidang DUN Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sesi perbahasan Belanjawan Terengganu 2022 'panas' seketika apabila wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyifatkan perpecahan Muafakat Nasional (MN) di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal mengembalikan sisi gelap perpecahan dalam kalangan Melayu Islam di Terengganu antaranya solat dua imam.

Suhu dewan mula hangat ketika Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) mendakwa, PRN Melaka merupakan bibit awal perpecahan dua parti terbesar yang di dominasi orang Melayu iaitu Pas dan UMNO yang memberikan kesan terhadap perpaduan orang Melayu di negeri ini.

Menurutnya, antara kesan perpecahan yang akan berlaku ialah solat dua imam, hasil sembelihan bukan daripada satu kelompok parti tidak boleh makan oleh kelompok yang lain, isu pernikahan serta beberapa lagi kesan lain.

"Kita (di Terengganu) sebenarnya telah lupa mengenai perkara itu selepas MN dimeterai, namun air mata orang Melayu sekali lagi akan mengalir jika UMNO dan Pas berpecah dengan tiada muafakat dalam PRN Melaka.

"Keputusan diambil Pas seolah-olah telah mengkhianati orang muda, dulu berjanji mahu berbaik dan bersatu tetapi sekarang mengajar golongan muda untuk kembali berpecah belah," katanya.

Bagaimanapun, kenyataan Nawi beberapa kali disangkal Hishamuddin Abdul Karim (Pas-Tepoh) dengan mengatakan apa yang diutarakan Nawi mengelirukan dewan.

Nawi Mohamad
Nawi Mohamad

Beliau turut meminta Nawi memperhalusi piagam MN kerana menganggap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut itu tidak merujuk terlebih dahulu kandungan piagam berkenaan di dalam ucapan.

Artikel Berkaitan:

Suhu perbahasan bertambah hangat setelah berlaku pertikaman lidah beberapa minit antara Datuk Seri Ahmad Said (BN- Kijal) yang bangun membantah sebelum beberapa kali melemparkan perkataan 'bodoh'.

Ia rentetan kenyataan wakil rakyat Pas yang mengatakan perpecahan di Melaka berlaku akibat penolakan wakil rakyat UMNO terhadap kerajaan negeri yang ditadbir UMNO sendiri.

Ahmad dalam masa yang sama menyatakan perpecahan juga pernah berlaku dalam kerajaan Pas Terengganu pada 1961 di mana ketika itu wujud usul undi tidak percaya terhadap kerajaan oleh wakil rakyat Pas.

"Tak payah ungkit siapa sebelah (menyebelahi) siapa sebab pada 1961 berlalu Pas sembelih Pas juga," katanya.

Keadaan kembali tenang setelah Yang Dipertua DUN, Datuk Yahaya Ali meminta semua ahli yang berhormat mengawal emosi, menghormati dewan serta tidak menggunakan perkataan yang tidak sopan ketika berucap.