Banjir: 787 PPS di Pahang sedia tempatkan penduduk terjejas

Seorang penduduk Kampung Gudang Rasau, Kuantan, Azhar Osman, memantau situasi semasa keadaan perkembangan banjir di pekarangan rumahnya yang dilimpahi air sungai berikutan hujan pada Disember tahun lalu. - Foto fail Bernama
Seorang penduduk Kampung Gudang Rasau, Kuantan, Azhar Osman, memantau situasi semasa keadaan perkembangan banjir di pekarangan rumahnya yang dilimpahi air sungai berikutan hujan pada Disember tahun lalu. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 787 pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang kini bersedia untuk menempatkan penduduk terjejas banjir sepanjang musim tengkujuh yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Rahim Muda berkata, semua agensi berkaitan termasuk syarikat pembersihan awam juga diminta melakukan pemantauan berterusan bagi menghadapi situasi luar jangka termasuk fenomena air pasang besar.

Beliau memberitahu, jumlah PPS paling banyak di daerah Kuantan iaitu 121 diikuti Jerantut (96), Pekan (95), Temerloh (87), Raub (84), Lipis (82), Maran (72), Bera (45), Bentong (40), Rompin (39) dan Cameron Highlands (26).

"Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) dan Wisma Belia, di Indera Mahkota akan berfungsi sebagai PPS terbesar di daerah Kuantan kerana dua lokasi itu boleh menempatkan kira-kira 500 keluarga pada satu-satu masa," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurutnya, kerajaan negeri cuba mengelakkan penggunaan sekolah sebagai PPS bagi memastikan sesi persekolahan tidak terganggu jika berlaku banjir.

Selain itu, Abd Rahim menjelaskan, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah menghantar bekalan barangan keperluan asas ke 140 pangkalan hadapan di seluruh negeri secara berperingkat bermula hujung bulan lalu.

Abd Rahim
Abd Rahim

Beliau menjelaskan, daerah Temerloh mempunyai 34 lokasi pangkalan hadapan, Kuantan (18), Jerantut (16), Pekan (14), masing-masing 12 di Rompin dan Lipis, Bera (11), Raub (10) dan Bentong (dua).

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai kawasan sekitar bandar raya Kuantan yang sering dilanda banjir kilat, Abd Rahim menjelaskan, tindakan penyelenggaraan longkang dan sistem saliran sedang dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama syarikat konsesi dilantik.

"Perkara ini dalam tindakan PBT dan kita juga sudah meminta pihak (pengurusan) Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Alam Flora melakukan penyelenggaraan longkang dan sistem saliran lebih kerap bagi mengelak banjir kilat," katanya.