KBS lancar KKIS 2021 bangunkan industri sukan sebagai penjana ekonomi

Ti Lian Ker (tengah) pada sidang media selepas Majlis Pelancaran KKIS 2021 di sebuah hotel di ibu kota pada Sabtu.
Ti Lian Ker (tengah) pada sidang media selepas Majlis Pelancaran KKIS 2021 di sebuah hotel di ibu kota pada Sabtu.
A
A
A

SEMUA pihak harus memainkan peranan dalam pembentukan ekosistem industri sukan yang kondusif supaya ia mampu membantu menjana ekonomi negara, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker.

Beliau berkata, melalui Konvensyen Kerjaya Industri Sukan (KKIS) 2021 peningkatan kesedaran mengenai ekosistem industri sukan negara akan disebarkan kepada orang ramai.

"KKIS melibatkan Dasar Industri Sukan Negara akan menampilkan pemain industri sukan untuk membantu Kementerian Belia dan Sukan Negara (KBS) dan Sekretariat Industri Sukan (SIS) dalam menggubal dasar yang lebih mantap, dan menaikkan industri ke tahap setaraf dengan negara-negara maju.

"Seperti yang dimaklum, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam penjanaan industri sukan seperti negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat (AS), Jerman, Jepun, Australia dan China misalnya.

"Malah, di negara Amerika Syarikat, industri sukan merupakan industri utama ekonomi yang dijangkakan meningkat dari AS$71.06 bilion ke AS$83.1 bilion pada tahun 2023,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran KKIS 2021 di sini pada Sabtu.

Selain itu, Lian Ker berkata, KKIS akan mengutamakan penglibatan wanita dalam industri sukan dari segi memberi peluang kepada mereka bergiat dalam aspek industri sukan seperti penyiaran sukan, teknologi, pendidikan, pembuatan dan sebagainya.

Tambahan pula katanya, KBS bersama SIS sedang berusaha mengumpul data dan statistik dari pelbagai badan sukan serta kerajaan untuk memutuskan hala tuju masa depan industri sukan dan asas mereka untuk menggubal dasar yang kukuh untuk pembangunan industri sukan sebagai penjana ekonomi negara.

Beliau berkata, tujuan konvensyen itu bukan hanya memfokuskan penjanaan ekonomi sahaja malah ia juga boleh meningkatkan kesedaran kepada ibu bapa untuk menjadikan sukan sebagai kerjaya kepada anak-anak.

Artikel Berkaitan:

"Menceburi bidang sukan boleh dikira bermanfaat kerana terdapat potensi untuk dijadikan kerjaya kepada anak muda negara ini dan tidak membazirkan masa sebagai aktiviti beriadah sahaja.

"Contohnya, sebelum ini saya selalu berpesan kepada anak supaya tidak menceburi bidang e-sukan (sukan elektronik) kerana membazir masa dan hanya perlu fokus dalam pelajaran. Saya baru bercakap dengan penggiat e-sukan, Cheng Jin Xiang atau dikenali sebagai “NothingToSay” dan nampak (sedar) betapa banyak hasil pendapatan mereka daripada sukan itu,” ujarnya.

Menurutnya, bidang sukan bukan hanya untuk beriadah dan menjaga kesihatan sahaja tapi boleh dijadikan sebagai sebuah industri industri yang menjana pendapatan untuk negara.

KKIS 2021 anjuran SIS dan Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (iLEAD) merangkumi empat komponen iaitu libat urus Dasar Industri Sukan Negara, Seminar Industri Sukan Wanita, Seminar Kerjaya dan Profesional Industri Sukan serta Pameran Industri Sukan. - Bernama