Tuanku Muhriz titah terus usaha capai agenda ketiga SDG

Tuanku Muhriz - Foto fail/Bernama
Tuanku Muhriz - Foto fail/Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menyeru agar kerajaan dan perkhidmatan kesihatan seluruh dunia termasuk doktor keluarga berusaha mencapai agenda ketiga dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Matlamat berkenaan iaitu memastikan kehidupan yang sihat dan sejahtera bagi semua peringkat umur menjadi perhatian Tuanku Muhriz berikutan impak negatif pandemik Covid-19 terhadap pencapaian SDG berdasarkan laporan Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Seluruh perkhidmatan kesihatan terpaksa bekerja keras. Tambahan pula dengan kekurangan petugas kesihatan, program kesihatan yang berterusan seperti perkhidmatan kesihatan ibu dan anak terjejas dengan pembalikan hasil dan jangka hayat dikurangkan pada akan datang.

“Oleh itu, di sebalik cabaran ini, adalah menjadi kewajipan moral kerajaan di seluruh dunia dan perkhidmatan kesihatan mereka termasuk doktor keluarga, untuk berusaha ke arah mencapai matlamat itu,” titah baginda dalam ucapan perasmian mesyuarat World Organisation of Family Doctors (WONCA) bagi rantau Asia Pasifik (APR) dijalankan melalui aplikasi Zoom pada Sabtu.

WONCA APR dianjurkan oleh Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia (AKKM) sempena Persidangan WONCA Sedunia ke-23 pada 22 hingga 27 November di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan akan berlangsung secara maya.

Mengenai pandemik Covid-19, Tuanku Muhriz yang juga Penaung Diraja AKKM bertitah kerjasama antarabangsa dalam kalangan doktor keluarga dalam WONCA-APR serta keluarga WONCA global sangat mengagumkan dan menyeluruh.

Ia diikuti dengan komitmen yang tinggi dalam berkongsi pengalaman dan projek penyelidikan serta sama-sama mencari pelbagai cara penyelesaian dalam kalangan ahli WONCA-APR, titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah hubungan rapat dan penyertaan WONCA APR dalam sesi tahunan Wilayah Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencerminkan komitmen dalam memastikan penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer berkualiti tinggi di rantau ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tuanku Muhriz bertitah, doktor keluarga dan rakan seperjuangan memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer kepada komuniti mereka termasuk peruntukan yang diperincikan dan pada masa sama melibatkan diri dalam aktiviti promosi kesihatan serta pencegahan penyakit.

Mengulas lanjut, baginda bertitah, peranan ini semakin mencabar sejak penularan Covid-19, satu fenomena tidak dijangka dalam sejarah perubatan menyaksikan bagaimana virus SARS-CoV-2 menyebabkan berjuta-juta kematian dicatatkan secara global, menyebabkan sistem kesihatan di seluruh dunia hampir lumpuh.

“Ini juga menyebabkan kegawatan ekonomi di seluruh negara. Namun ketika krisis ini, doktor keluarga di seluruh dunia termasuk di Malaysia, tidak jemu mengorbankan masa dan usaha mereka, serta nyawa mereka, dalam memerangi penyakit ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tuanku Muhriz bertitah, AKKM adalah satu daripada 18 pertubuhan pengasas dan terus aktif sejak penubuhan WONCA pada 1972.

Tiga doktor tempatan telah diberi penghargaan untuk menerajui kepimpinan WONCA Asia Pasifik, iaitu Profesor Madya Dr Mohammad Husni Jamal yang akan memegang jawatan Presiden, Dr S Kaviayarasan yang dicalonkan sebagai Setiausaha Kehormat dan Dr Wong Ping Foo sebagai Pengerusi The Rajakumar Movement.

Tuanku Muhriz juga gembira dengan pencapaian dua doktor yang juga ahli pertubuhan iaitu Profesor Dato Dr Sheikh Amin kerana terpilih memenangi anugerah WONCA Asia Pacific 5 Star Doctor 2021 dan Dr Noor Hazan Harun yang memenangi anugerah The Rajakumar Movement Rising Star Award 2021. - Bernama