Sekatan kempen, semua pihak perlu berlapang dada

Bakri Jamaluddin. - Foto FB Bakri Jamaluddin
Bakri Jamaluddin. - Foto FB Bakri Jamaluddin
A
A
A

MELAKA - Sekatan yang dikenakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap aktiviti ceramah atau kempen secara fizikal sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melalui prosedur operasi standard (SOP) ketat perlu diterima semua pihak.

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Bakri Jamaluddin berkata, sekatan berkenaan bertujuan menjaga nyawa rakyat dan ahli politik harus mematuhinya.

“Saya berkempen sudah dua hari (dan) memang rasa ketat...tak boleh ceramah, memang rasa tersekat. Bagus juga guna digital kerana paling tidak ia memberi keselamatan kepada rakyat.

“Kalau kita kempen rumah ke rumah, kita kena ingat ada (pengundi yang ada) anak kecil, orang tua... anak kecil ini tak vaksin... (dan) kita tak nak ia (penularan Covid-19) berlaku,” katanya dalam Bicara Harakah yang diadakan secara dalam talian.

Beliau yang menyifatkan gelanggang perang pada PRN itu sebagai adil kepada semua pihak juga mahu semua pihak menggunakan teknologi sebagai alat untuk mendidik dan mematangkan rakyat dan bukan menimbulkan suasana tidak harmoni.

“Saya berpegang kepada satu iaitu apabila anda memberikan maklumat yang betul, orang akan memberi anda keputusan yang betul. Bermain di media sosial hari ini, adalah adil tapi yang lebih penting jadikan medium ini sebagai alat mendidik dan matangkan rakyat,” katanya.

Calon PN DUN Serkam, Ahmad Bilal Rahudin pada sidang akhbar bersama Naib Presiden Pas, Idris Ahmad pula berkata, meskipun DUN yang ditandinginya terletak di kawasan luar bandar, kempen mempromosikan diri dan perjuangan menerusi media sosial tidak menjejaskannya.

“Pengundi telah mengamalkan norma baharu sudah dua tahun dan saya rasa tidak ada masalah (untuk pengundi) tonton penjelasan dalam talian. Ia juga tidak menjadi masalah bagi saya berkempen dalam talian dan bagi PN, kita ada akar umbi yang cukup yang boleh bagi penerangan di lokaliti. Perkara ini perlu dititikberatkan untuk kesihatan awam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

SPR pada 8 November lepas melarang penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka diadakan sepanjang tempoh PRN Melaka.

SPR menetapkan hari mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN, memiliki seramai 495,195 pengundi berdaftar. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my