X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Ucapan Tuan Ibrahim buka lembaran baharu bahasa Melayu

Tuan Ibrahim ketika berucap pada UNFCCC COP-26 di Glasgow, Scotland. - Foto ihsan FB Kementerian Alam Sekitar dan Air
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan bahasa Melayu oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ucapannya pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) membuka lembaran baharu bagi perkembangan bahasa kebangsaan di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, amalan tersebut sewajarnya turut dilaksanakan oleh pemimpin negara yang lain.

Menurut beliau, amalan pemimpin negara berucap menggunakan bahasa negara masing-masing sudah lama dilakukan oleh pemimpin negara lain antaranya seperti Republik Rakyat China, Jerman, Rusia, Perancis dan Indonesia.

“Dengan modal yang kecil untuk membayar khidmat terjemahan, negara sebenarnya memperoleh faedah yang amat besar.

“Selain soal imej negara, akan ada lonjakan lain daripada usaha mengangkat bahasa negara di peringkat dunia, seperti pelancongan, perdagangan dan pendidikan.

“Sebagai contoh, pengalaman saya sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu di negara China atas nama Kementerian Pendidikan Tinggi dengan Jabatan Pendidikan Malaysia di Beijing telah berjaya mengembangkan bahasa Melayu di negara itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Tuan Ibrahim yang merupakan ketua delegasi Malaysia untuk menghadiri sesi rundingan Segmen Peringkat Tinggi di UNFCCC COP-26 di Glasgow, Scotland telah menyampaikan kenyataan negara dengan menggunakan bahasa Melayu.

Mengulas lanjut, Awang berkata, sehingga kini, sebanyak 15 buah universiti di China menawarkan program Ijazah Bahasa Melayu selama empat tahun dan program Diploma Bahasa Melayu selama tiga tahun dengan jumlah itu dijangka terus bertambah.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa DBP menerusi Sasaran Kerja Utama sejak lebih 20 tahun lalu telah meletakkan sasaran menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN dan bahasa di Pertubuhan Bangsa-Bersatu (PBB).

Menurutnya, usaha itu bagaimanapun belum tercapai kerana banyak bergantung kepada keputusan dan pelaksanaan oleh kerajaan.

“Dengan perkembangan kini, saya positif bahawa bahasa Melayu dapat ditingkatkan di peringkat antarabangsa,” ujar beliau.

Awang berkata, Menteri Luar Negara, Datuk Saifuddin Abdullah dalam kunjungannya ke DBP pada 6 Oktober lalu juga telah mengisytiharkan Program Diplomasi Kebudayaan yang antara lain menggerakkan bahasa, persuratan dan kebudayaan negara di peringkat dunia melalui peranan kedutaan-kedutaan utama Malaysia di dunia dengan kerjasama agensi tersebut.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!