Lelaki ditahan bekal rokok seludup di kedai runcit

Suspek ditahan bersama barangan berupa rokok dipercayai tidak bercukai di Taman Putera Indah, Batu Pahat pada Rabu.
Suspek ditahan bersama barangan berupa rokok dipercayai tidak bercukai di Taman Putera Indah, Batu Pahat pada Rabu.
A
A
A

BATU PAHAT - Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kegiatan membekalkan rokok tidak bercukai dalam satu operasi pada Rabu.

Pegawai pemerintahnya, Superintendan Dimin Awang berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan ketika sedang memandu sebuah kereta jenis Proton Iswara kira-kira jam 3 petang di Taman Putera Indah, di sini.

“Pemeriksaan dilakukan ke atas kenderaan dipandu suspek itu kemudiannya membawa kepada penemuan beberapa barangan berupa rokok yang disyaki diseludup dan tidak mempunyai cukai.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek juga dipercayai aktif dalam membekalkan rokok tidak bercukai ke kedai runcit sekitar kawasan Batu Pahat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dimin berkata, dalam penahanan itu, polis telah menemui sejumlah 94 karton rokok pelbagai jenama yang diseludup dari negara luar.

“Kesemua rokok ini bernilai RM2,683 dengan jumlah nilai cukai dilarikan dianggarkan RM11,323. Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan:

"Pihak kami percaya tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar kawasan Batu Pahat,” katanya.END