Ahli perniagaan wanita rugi RM310,000 ditipu 'pegawai Bank Negara'

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan wanita kerugian RM310,000 selepas terpedaya dengan penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai individu dari Bank Negara Malaysia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, wanita berusia 55 tahun itu membuat laporan pada Isnin.

Menurutnya, mangsa dihubungi oleh seorang pegawai bank yang memaklumkan kad kredit miliknya telah digunakan dalam jumlah yang besar.

"Pegawai itu kemudiannya meminta mangsa menghubungi Bank Negara Malaysia melalui nombor telefon yang telah diberikan," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Mohd Mahidisham berkata, dalam perbualan tersebut, mangsa diminta memberitahu maklumat perbankan.

"Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila menerima mesej memaklumkan beberapa transaksi dari akaunnya ke akaun yang tidak dikenal pasti," katanya.

Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mohd Mahidisham turut menasihatkan supaya orang ramai tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada pihak ketiga melalui panggilan telefon bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, orang ramai perlu mendapatkan butir-butir terperinci seperti nama, pangkat pemanggil serta tempat bertugas.

"Orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/ 1599 atau balai polis berhampiran," katanya.